#JusticeforBella : TMJ tawar khidmat peguam percuma
Sedia bantu pembelaan kes penderaan Bella
JOHOR BHARU : Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedia tawar khidmat peguamnya secara percuma bagi membela kes penderaan remaja orang kurang upaya (OKU) sindrom down, Bella.
Tunku Ismail menerusi hantaran di media sosial berkata, beliau akan menghubungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berhubung tawaran tersebut.
Saya telah berhubung dan berbincang dengan peguam-peguam saya mengenai kes penderaan Bella. Kes ini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan kerajaan sudah memulakan perbicaraan terhadap OKT (orang kena tuduh) dalam kes ini. pic.twitter.com/TEDzwfa96L
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) April 16, 2022
“Saya telah berhubung dan berbincang dengan peguam-peguam saya mengenai kes penderaan Bella.
“Kes ini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan kerajaan sudah memulakan perbicaraan terhadap OKT (orang kena tuduh) dalam kes ini,” katanya.
Ujar Tunku Ismail, kes pendakwaan pada ketika ini melibatkan dua pihak iaitu pendakwa raya kerajaan bagi pihak kerajaan/awam dan peguambela yang dilantik untuk mewakili tertuduh (OKT).
“Saya akan menghubungi Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan menawarkan perkhidmatan peguam-peguam saya secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat untuk kes ini,” katanya.
Terdahulu, isterinya, Che Puan Besar Khaleeda Bustaman menerusi hantaran di Instagram memaklumkan sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu remaja OKU itu.
Che Puan Besar Khaleeda Bustaman turut berikrar mahu menuntut keadilan ke atas kanak-kanak istimewa itu.