SHAH ALAM: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bakal menerima tambahan dua lagi kontena daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai persediaan urusan pertambahan jumlah mayat, susulan wabak COVID-19 di Selangor ketika ini.
Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi, berkata dengan tambahan kontena itu, HTAR memiliki empat kontena bagi menempatkan mayat, termasuk satu kontena masing-masing disumbangkan oleh MIC pusat dan satu lagi milik sedia ada jabatan berkenaan yang boleh memuatkan 120 mayat.
“Dengan empat kontena itu dan ditambah lagi dengan kemudahan sedia ada di bilik menempatkan mayat serta jenazah di Jabatan Forensik, kita mampu menempatkan anggaran maksimum sekitar 150 mayat,” katanya hari ini.
Mengulas dakwaan mayat yang tidak dapat diuruskan dengan rapi di Jabatan Forensik hospital itu susulan kekurangan pegawai inspektor kanan, Dr Zulkarnain berkata, perkara berkenaan akan diselesaikan secara berperingkat dengan bantuan dan aset daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau berkata, kerjasama itu hasil perbincangan antara Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah pengurusan ATM.
Selain itu, Dr Zulkarnain berkata, HTAR yang dijadikan sebagai Hospital Hibrid COVID-19 memaklumkan pihaknya masih menerima kes selain COVID-19, khususnya kes kecemasan membabitkan kes kemalangan jalan raya dan sakit jantung.
“HTAR juga ada merujuk kes kemalangan jalan raya dan sakit jantung kepada Hospital KPJ Selangor di Shah Alam dan KPJ Klang,” katanya.
Menurutnya, melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dibuat antara KKM dengan Hospital KPJ Jun lalu, HTAR setakat ini sudah merujuk lebih kurang 20 pesakit yang memerlukan rawatan lanjut di dua hospital berkenaan.
“Kita akan buat ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu sebelum pesakit dirujuk ke hospital berkenaan serta kos perbelanjaan pesakit juga ditanggung kerajaan,” katanya.
Mengenai mobilisasi petugas perubatan dari luar Lembah Klang, beliau berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima 20 orang petugas kesihatan dari Perlis untuk membantu pengurusan di hospital terbabit.
– BERNAMA
Oleh : Nurshazlin Shahrom (Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media)