DuniaSemasa

Masjidil Haram Saudi terima 80,000 naskhah Al-Quran baharu menjelang haji

MEKAH : Masjidil Haram menerima sebanyak 80,000 salinan naskhah baharu Al-Quran menjelang haji pada tahun ini.

Ketua pengarah Direktorat Am untuk Al-Quran dan Kitab Suci, Ghazi al-Thibiani, berkata ia  termasuk salinan Braille baru Al-Quran untuk orang buta, dan salinan tafsiran makna Al-Quran dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Inggeris, Urdu dan Indonesia.

Al-Thibiani menambah bahawa mereka telah menyediakan program khas untuk meraikan jemaah haji, di mana ia akan menghadiahkan senaskah Al-Quran untuk setiap jemaah, di samping program untuk terjemahan Al-Quran dalam lebih 60 bahasa, melalui QR yang dimuat turun pada telefon pintar.

Menurut laporan Al Arabiya News, Selasa lalu, pihak berkuasa mendedahkan mereka telah mendaftarkan sejumlah 172,562 jemaah dari seluruh dunia ke Madinah setakat ini menjelang haji tahun ini.

Statistik ketibaan dan pelepasan jemaah haji di Madinah yang dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah menunjukkan seramai 156,828 jemaah telah tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz di Madinah.

Manakala pusat imigresen darat menerima 13,097 jemaah yang tiba di bandar melalui lintasan sempadan darat.

Statistik juga mendedahkan kewarganegaraan jemaah haji yang tinggal di Madinah, menunjukkan bahawa jemaah haji Indonesia adalah tertinggi bagi jemaah haji antarabangsa (24,478), diikuti oleh jemaah dari India, Bangladesh, Iraq, dan Iran.

Statistik menunjukkan 76,955 jemaah meninggalkan Madinah sejak beberapa hari lalu dalam perjalanan ke tanah suci Mekah.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button