Covid19Semasa

Perjumpaan khas keluarga bersama banduan sempena Aidiladha ditangguhkan

hanya perjumpaan dengan sidang video dibenarkan

PETALING JAYA : Perjumpaan khas keluarga bersama banduan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha bagi tahun 2021 ditangguhkan sebagai langkah mencegak penularan Covid-19.

Jabatan Penjara Malaysia berkata walaupun tidak dibenarkan berjumpa, pihaknya membenarkan serta memberikan keutamaan kepada penggunaan sidang video melalui e-mel jabatan ‘Icewarp’ bermula 21 hingga 25 Julai ini.

“Penggunaan kaedah tersebut hanya dibenarkan kepada keluarga yang membuat tempahan dan hanya satu panggilan sahaja dibenarkan bagi memberi peluang kepada penghuni lain.

“Tempahan bagi menggunakan perkhidmatan sidang video berkenaan boleh dibuat mulai hari ini menerusi panggilan telefon atau menghantar emel juga surat kepada penjara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, penjara-penjara berkaitan akan menetapkan tarikh perjumpaan dengan tempoh masa bergantung kepada situasi semasa penjara berkenaan.

“Para banduan juga dibenarkan menggunakan kemudahan telefon prabayar yang disediakan untuk menghubungi keluarga sekiranya perlu.

“Maklumat lanjut berhubung sesebuah penjara boleh didapati di laman web Jabatan Penjara Malaysia di www.prison.gov.my,” katanya.

– K! Online

Oleh Pelatih Hafeez Anuar (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media)

Related Articles

Back to top button