PUTRAJAYA : Walaupun berlaku peningkatan terhadap kes-kes baharu Covid-19 seperti dinyatakan hari ini, kes sembuh juga meningkat.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian perkembangan Covid-19 negara menyatakan sebanyak 701 kes jangkitan pandemik dunia ini sembuh.
Sekaligus mencatatkan jumlah kes sembuh tertinggi pernah dilaporkan dalam satu hari.
Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes sembuh dan telah didiscaj adalah sebanyak 13,262 kes daripada keseluruhan kes 20,498.
Sehubungan itu menurut Tan Sri Dr. Noor Hisham, Malaysia telah berjaya menurunkan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) COVID-19 daripada 2.2 pada permulaan gelombang ketiga pada 20 September lalu kepada 1.3 hingga 1.5 sekarang.
“Malaysia telah berjaya menurunkan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) COVID-19 daripada 2.2 pada permulaan gelombang ketiga pada 20 September lalu kepada 1.3 hingga 1.5 sekarang. Ini bermakna usaha yang diambil kerajaan setakat ini telah dapat mengelakkan peningkatan kes secara mendadak.”
Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata jika dilihat kepada jumlah kes positif harian COVID-19 sejak beberapa hari lepas dan unjuran kes pada masa akan datang, pihaknya menjangkakan R0 kekal dalam lingkungan 1.5.
Beliau berkata oleh itu, dijangkakan kes harian COVID-19 masih meningkat namun bukanlah secara mendadak.
“Unjuran ini amat penting kerana ia menunjukkan bahawa masih terdapat ruang bagi kita berusaha mengawal situasi gelombang ketiga ini.
“Segala usaha di Kesihatan Awam di lapangan mesti diteruskan dan dilipatgandakan, kawalan pergerakan harus diperketatkan dan rakyat perlu membantu negara dengan duduk di rumah,”
Beliau berkata R0 boleh menurun jika langkah pencegahan yang tepat dijalankan secara berterusan bagi membendungnya.
“Menurunkan nilai R0 kepada kurang daripada 1 secara berterusan akan membantu mengakhiri sesuatu wabak.”