Covid19Semasa

Covid-19 : 871 kes hari ini!

7,049 kes aktif, 251,030 individu telah disaring

KUALA LUMPUR: Jangkitan Covid-19 negara terus menunjukkan angka tertinggi! Hari ini berlaku penambahan dua kes daripada angka semalam, menjadikan keseluruhan kes positif hari ini 871.

Jumlah itu adalah kali yang keenam angka kes harian dicatat dalam tempoh 17 hari sejak 2 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak berkenaan kini mencecah 20,498 dengan 7,049 kes aktif.

Katanya, kes baharu terbabit meliputi 866 penularan tempatan dan lima lagi kes import membabitkan dua dari India, Nepal (dua) dan Singapura (satu).

Sabah kekal mencatatkan jumlah kes baharu harian COVID-19  tertinggi dengan 702 kes dilaporkan, atau 80.6 peratus daripada keseluruhan 871 kes yang direkodkan di Malaysia dalam tempoh 24 jam lalu.

Tan Sri Dr Noor Hisham berkata lonjakan kes itu adalah disebabkan lebih banyak keputusan makmal diperoleh.

“Setakat 18 Okt (hari ini), kes kumulatif COVID-19 di Sabah ialah sebanyak 7,439 (atau 36.3 peratus daripada jumlah keseluruhan di Malaysia)”

Beliau juga berkata hingga kini,  seramai 251,030 individu di negeri itu telah menjalani saringan jangkitan virus tersebut.

Semalam, Sabah merekodkan 451 kes atau 51.9 peratus daripada kes keseluruhan harian yang dilaporkan di negara ini.

Selain itu, beliau memaklumkan, dua kes baharu membabitkan individu pulang dari Sabah, sekali gus menjadikan jumlah jangkitan dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke negeri terbabit ialah 443 sejak 20 September lalu.

“Secara keseluruhan, sebanyak 97 kes (11.1 peratus) dilaporkan hari ini adalah daripada Kluster Tembok, Kluster Penjara Reman, Kluster Penjara Seberang Perai serta Kluster Penjara Kepayan, yang terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat.

“Negeri di Lembah Klang pula merangkumi 9.6 peratus daripada jumlah jangkitan baharu itu, manakala Sabah terus mencatatkan bilangan tertinggi membabitkan 702 kes (80.6 peratus).

“Ini berikutan lebih ramai individu disaring di lapangan. Sejak pandemik bermula, sejumlah 251,030 individu disaring di Sabah,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19, hari ini.

Empat kluster baharu dikesan, menjadikan kluster aktif kini kepada 85 dengan Kluster Penjara Kepayan mencatat kes tertinggi iaitu sebanyak 49 kes.- AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button