DuniaSemasa

Cinta Syria Malaysia sasar RM1.3 juta sumbangan sempena 10 Tahun Misi Ramadhan

KUALA LUMPUR: Cinta Syria Malaysia (CSM) telah menganjurkan Majlis Amal Berbuka Puasa Iftar Nur Kasih 2.0 di Bayswater at KLCC bagi mengumpul dana bantuan buat rakyat Syria yang terkesan dengan gempa dan perang untuk menjalani bulan Ramadan.

Majlis yang dirasmikan oleh Dr. Kamaruzaman, mantan pensyarah di Akademi Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia.

Majlis ini merupakan sebahagian daripada usaha kempen Misi Ramadan CSM yang memasuki tahun ke-10 pada tahun ini yang menyasarkan pengumpulan dana sebanyak RM1,300,000.00.

Kempen Misi Ramadan CSM ini berlangsung dari 12 Januari hingga 22 April 2023.

Tazkirah oleh Prof Dr Kamaruzaman
Persembahan pentas oleh pelajar-pelajar Sekolah CSM memeriahkan Majlis Iftar

“Hasil daripada penjualan tiket Iftar Nur Kasih 2.0 akan dimasukkan ke dalam akaun Misi Ramadan CSM 10.0 untuk mencapai sasaran 1.3 juta Ringgit Malaysia,” kata Pengarah Majlis Iftar Nur Kasih 2.0, Puteri Norafiah.

Mengulas tentang Misi Ramadan tahun ini, pengasas dan CEO Cinta Syria Malaysia, Ahmad Musa Al-Nuwayri memberitahu bantuan akan turut memberi perhatian kepada mereka yang terkesan gempa besar di Turkiye pada 6 Februari lalu.

Ahmad Musa Al-Nuwayri – CEO Cinta Syria Malaysia

“Insya-Allah, 4 haribulan nanti, team Cinta Syria Malaysia (CSM) bersama Noh Salleh, Faizal Tahir dan Farah Lee akan berangkat ke Syria bagi Misi Ramadan yang ke-10. Berbezanya Misi Ramadan tahun ini,
bantuan kemanusiaan akan disalurkan juga buat mangsa gempa bumi di Gaziantep, Turkiye dan Jindires, Syria. ” katanya.

 

Musa Al-Nuwayri menyerahkan mock-cheque sumbangan bernilai RM300,000 kepada Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia (Dr) Sani Araby untuk sinergi kerjasama bantuan Turkiye-Syria

Usaha ini melibatkan kerjasama CSM dan MAPIM MALAYSIA dengan sumbangan dana sebanyak RM300,000 disalurkan CSM kepada MAPIM MALAYSIA untuk bantuan kecemasan gempa bumi. Pertubuhan kebajikan Iman Care dan Persatuan Amal Barakah turut memberikan sumbangan sebanyak RM40,000 dan RM25,000 kepada tabung Misi Ramadan CSM.

Dana terkumpul akan dimanfaatkan dalam bentuk bantuan keperluan asas seperti makanan dan pakaian baharu bagi meringankan beban mereka sewaktu Ramadan dan persiapan Aidilfitri. Dijangka 51,230 orang rakyat Syria akan menerima manfaat sumbangan ini.

Selain itu, Ahmad Musa pada malam itu telah merasmikan 8 Projek Kelestarian CSM untuk manfaat jangka panjang berbentuk bantuan pendidikan, perubatan dan kebajikan pelarian Syria yang berada di Syria, Lubnan, Jordan dan Malaysia.

Antara sorotan lain, memorandum persefahaman antara Cinta Syria Malaysia dan Yayasan Min Qalby sebagai pendana bersama untuk pendidikan pelajar Syria Sekolah KITA I di Jordan turut dimeterai pada malam tersebut.

Iftar Nur Kasih 2.0 telah dihadiri seramai 350 orang dan hadir menyokong usaha Cinta Syria Malaysia adalah barisan rakan artis, pempengaruh media sosial dan ahli professional terkenal antaranya, Noh Salleh, Zizi Kirana, Yusuf Bahrin, Aizat Amdan, Khairul Hakimin Muhammad, Dr Samhan dan Dr Maiza.

Barisan artis pendokong usaha CSM hadir memeriahkan Majlis Iftar CSM

Kredit: Astro Awani

 

Rakyat Malaysia yang ingin menyumbang kepada bantuan kemanusiaan Syria boleh berbuat demikian dengan melayari www.ramadan4syria.com atau layari www.cintasyriamalaysia.com untuk mengetahui maklumat lanjut.


Related Articles

Back to top button