Semasa

Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur, beri nafas baharu kepada peniaga

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengadakan inisiatif menaik taraf dan mengindahkan fasiliti gerai menerusi program Lestari Niaga@Kuala Lumpur.

Program ini dikatakan mampu memberi ‘nafas baharu’ untuk golongan peniaga bagi menjalankan perniagaan mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi menaik taraf gerai dan warung di seluruh Kuala Lumpur pada majlis pelancaran program Lestari Niaga@Kuala Lumpur D’Medan Selera Madani di Kompleks Tun Sambanthan.

Laman Niaga@Kuala Lumpur merupakan inisiatif kerajaan MADANI, bagi menaik taraf dan mengindahkan fasiliti gerai peniaga kecil dan penjaja sedia ada di Wilayah Persekutuan, agar menjadi lebih kondusif dan selesa.

Bagi peniaga P. Indirani, 62, biarpun luar bangunan kompleks itu kelihatan cantik dan indah, namun masalah dalaman seperti kerosakan tandas serta masalah air perlu dibaiki dalam kadar segera, agar ia memberi keselesaan kepada pengunjung.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh ketika berucap pada program itu turut memaklumkan terdapat enam pusat penjaja dan gerai milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Brickfields iaitu Kompleks Tun Sambanthan, Medan Selera Tempat Letak Kereta Brickfields, Kedai Bunga Little India, Kedai Burung Little India, Little India Seri Kota dan Kedai Bunga di Jalan Scott.

“Tahun ini, DBKL melaksanakan kerja-kerja pengindahan di dua lokasi iaitu D’Medan Selera Madani Kompleks Tun Sambanthan dan Kedai Bunga Little India, membabitkan sejumlah 71 peniaga.

“Kerja-kerja pengindahan itu termasuklah pengindahan fasad, penambahbaikan bumbung, kerja-kerja mengecat semula bangunan dan mural, penggantian kipas dan lampu, penggantian paip air dan pemasangan papan tanda,” katanya.

Beliau berkata DBKL akan terus berusaha menyediakam kemudahan awam yang lebih selesa, bersih, indah dan kondusif demi keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan warga kota.

Related Articles

Back to top button