JAKARTA : Warga Indonesia perlu memastikan status vaksinasi lengkap sebagai syarat untuk mereka yang berhasrat untuk melangsungkan perkahwinan, menurut Jabatan Kesihatan Daerah Kubu Raya.
Ketua Jabatan Kesihatan Kubu Raya, Marijan berkata, sijil vaksinasi perlu dikemukakan dari setiap bakal pengantin sebelum diberi keizinan untuk mendirikan rumah tangga.
“Perkara ini sudah kami panjangkan kepada pihak jabatan agama daerah dan ia menerima sambutan baik, namun masih dalam proses perbincangan lanjut.
“Kewajipan memiliki sijil vaksinasi lengkap untuk berkahwin akan menyedarkan masyarakat bahawa pengambilan vaksin sangat penting untuk kita saling melindungi,” kata Marijan.
Mengulas lanjut, penambahan syarat vaksinasi lengkap untuk melangsungkan perkahwinan bukan bertujuan mahu menyusahkan pasangan yang ingin membina masjid.
“Manfaat vaksin ini sudah jelas dan sebelum memulakan kehidupan berkeluarga, adalah lebih baik kedua-dua bakal mempelai mengambil perlindungan sepatutnya,” tegasnya.
– AGENSI