Covid19DuniaSemasa

Ibadah Qiyamulail dibenarkan di Masjidil Haram & Masjid Nabawi

Sempena 10 malam terakhir Ramadan

MAKKAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memaklumkan jemaah diberikan kebenaran untuk melakukan ibadah Qiyamulail sepanjang 10 malam terakhir bulan Ramadhan ini.

Bagi kelonggaran itu lebih 4,000 orang pekerja akan melaksanakan kerja pembersihan dan nyah cemar di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi untuk menyambut jemaah menunaikan ibadah umrah.

Kedua-dua masjid tersebut akan dibersihkan sepuluh kali sehari dan lebih 80,000 liter cecair sanitasi serta 1,600 liter wangian digunakan bagi setiap kali operasi pembersihan dijalankan.

Turut disediakan lebih 500 alat cecair pencuci nyah kuman bersensor, sebagai prosedur operasi standard (SOP) kepada jemaah yang akan tiba tidak lama lagi.

Pintu tambahan turut dibuka untuk memastikan kelancaran laluan keluar masuk yang lebih teratur termasuk menyediakan laluan khusus untuk orang kurang upaya bagi memudahkan pergerakan jemaah yang ingin menunaikan umrah.

Selain itu, proses agihan air zam zam juga dilakukan untuk pengunjung di Mataf dan disediakan di laluan pejalan kaki, ruang solat jenazah, ruang solat tingkat satu untuk orang berkeperluan khas, di pintu masuk serta halaman Raja Fahd dan Raja Abdullah.

Air sejuk disemburkan di ruang masjid menerusi 250 kipas untuk mengurangkan suhu panas di ruang jemaah ketika waktu solat.

Malam Lailatul Qadr adalah malam di mana peristiwa ayat-ayat pertama Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Ganjaran ibadah pada malam ini adalah lebih baik daripada pahala 1000 bulan.

Oleh Pelatih Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button