DuniaSemasa

Apa pesawat Israel buat di ruang udara Malaysia?

Pesawat pengintip prototaip Israel tarik perhatian ramai

KUALA LUMPUR : Pesawat pengintip prototaip Israel dilaporkan berlegar di ruang udara Malaysia kira-kira empat jam sebelum mendarat di negara jiran mengundang perhatian ramai.

Dilaporkan pesawat Boeing 732-400 dengan bernombor pendaftaran 4X-AOO milik syarikat IAI-Elta merupakan pesawat perisikan elektronik yang sedang menjalankan penerbangan ujian merentas ruang udara Putrajaya.

Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Datuk Razali Idris, berkata rakyat memerlukan penjelasan segera daripada pihak kerajaan adakah pesawat Israel itu dibenarkan melalui ruang udara Malaysia?

Lebih-lebih lagi pesawat itu dikatakan diguna pakai sebagai platform ujian peralatan radar dan elektronik.

Tambah beliau, pesawat berkenaan turut direka khas untuk menampung sistem perisikan semboyan rondaan maritim, perisikan imej, sistem amaran awal udara (AEW) dan sistem perlindungan misil pesawat komersial.

“Persoalannya sekarang ialah adakah pesawat itu diberi kebenaran terbang di ruang udara negara. Kita memandang serius soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat terutama ancaman Israel menyasar Malaysia yang lantang memperjuangkan hak rakyat Palestin dan menentang kezaliman zionisme tentera Israel.” – Datuk Razali Idris/  Pengerusi Kaukus J/kuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara

Datuk Razali juga mempersoalkan apakah ada cubaan provokasi mengancam negara kecil seperti Malaysia termasuk suara lantang Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak segera bagi memaksa Israel menghentikan kezaliman dan penindasan rakyat Palestin yang tidak berperikemanusiaan.

Merujuk laporan Jurnal Defense Security Asia, pesawat Israel itu ternyata milik Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) iaitu sebuah syarikat kontraktor berpangkalan di Tel Aviv. – BH

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button