Semasa

Fenomena ‘Super Flower Blood Moon’

Gerhana bulan pertama tahun 2021

KUALA LUMPUR : Buat pertama kali pada tahun 2021, fenomena gerhana bulan berlaku secara penuh dapat dilihat di seluruh Malaysia secara amnya, malam semalam.

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai berkesempatan menyaksikan fenomena alam ini di rumah masing-masing atau menyertai siaran langsung webinar anjuran Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan (26 Mei 2021).

Aktiviti cerapan gerhana bulan ini dijalankan di tapak cerapan rasmi Universiti Malaysia Sabah, kampus Labuan.

Tapak cerapan rasmi Universiti Malaysia Sabah, Kampus Labuan

Menurut panel jemputan Program Webinar Gerhana Bulan 2021 anjuran Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan , Ustazah Intan Nor Syahadah Mansor, gerhana bulan tahun ini lebih menarik apabila tiga fenomena berlaku serentak kira-kira jam 7:11 malam.

Menurut Nor Syahadah, panggilan Super Flower Blood Moon disebabkan ‘Super Moon’ bulan berada dalam titik terdekat (perigee) dengan bumi menyebabkan bulan dilihat 70 peratus lebih besar daripada saiz asal.

Manakala, istilah ‘Blood Moon’ berikutan warna bulan ketika gerhana menjadi kemerah-merahan seolah bulan berdarah. Fenomena ketiga pula, iaitu gerhana bulan umbra atau gerhana bulan penuh.

“Gerhana bulan kali ini lebih menarik apabila tiga fenomena berlaku secara serentak. Pertama, gerhana bulan penuh. Kedua, fenomena ‘Super Moon’ yang terjadi apabila bulan berada pada titik terdekat dengan bumi (Perigee) berbeza dengan bulan penuh yang terjadi setiap bulan. Dan, fenomena ketiga ialah ‘Bloood Moon’, di mana warna bulan seakan-akan berdarah atau merah terang,” – Ustazah Intan Nor Syahadah Mansor

Dimaklumkan, jarak bulan dan bumi semalam adalah yang terdekat iaitu 360,000 km.

Kira-kira 7 malam, penduduk Sabah dan Sarawak dapat melihat sendiri fasa gerhana separa.

Walaubagaimanapun, kawasan Semenanjung Malaysia yang seharusnya dapat menyaksikan fasa gerhana maksima pada 7:15 malam semalam tidak berjaya, berikutan hujan lebat dan awan tebal di sekitar Kuala Lumpur.

Fenomena ‘bulan berdarah’ ini tamat pada 7:26 malam.

Menurut kakitangan balai cerapan rasmi Universiti Malaysia Sabah, Agku Bolkhizan A Ahmad Thani, dijangka fenomena gerhana bulan separuh dapat disaksikan pada bulan November tahun ini.

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button