Amerika Syarikat gantung perjanjian perdagangan dengan Myanmar
Akibat keganasan tentera Myanmar terhadap penunjuk perasaan
YANGON 30 Mac : Amerika Syarikat mengambil keputusan untuk menggantung perjanjian perdagangan dengan Myanmar dan mengetuai kecaman antarabangsa terhadap tindakan keras junta.
Tentera dan polis membunuh ratusan orang dalam kempen keganasan terhadap tunjuk perasaan antirampasan kuasa besar-besaran, yang menuntut pengembalian demokrasi dan membebaskan pemimpin dipilih rakyat yang digulingkan, Aung San Suu Kyi.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan, sekurang-kurangnya 107 orang termasuk tujuh kanak-kanak terbunuh dalam protes tersebut, ketika rejim mengadakan pertunjukan kekuatan besar-besaran sempena Hari Angkatan Bersenjata, perarakan tahunan yang menunjukkan kehebatan tentera Myanmar.
Kumpulan pemantau Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP), berkata, lebih 450 orang terbunuh dalam kekerasan terhadap tunjuk perasaan sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu, berpunca daripada tindakan pasukan keselamatan menggunakan peluru getah dan hidup untuk menyuraikan demonstrasi.
Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, mengumumkan Perjanjian Kerangka Perdagangan dan Pelaburan 2013 yang menetapkan cara untuk melonjakkan perniagaan namun bukan perjanjian penuh akan tetap ditangguhkan sehingga demokrasi dikembalikan.
“AS mengutuk sekeras-kerasnya keganasan pasukan keselamatan Burma terhadap orang awam,” – Wakil Perdagangan AS / Katherine Tai
Kenyataan itu secara jelas menyingkirkan Myanmar daripada Sistem Keutamaan Umum, di mana AS memberi akses bebas cukai ke atas beberapa import dari negara membangun jika mereka memenuhi standard utama.
Walaupun insiden keganasan berlaku pada hujung minggu lalu, penunjuk perasaan muncul ketika subuh di pekan dan bandar seluruh negara.
Ratusan orang berarak melalui pekan Plate di wilayah Mandalay, dengan sepanduk yang bertulis: ‘Rakyat tidak akan pernah dikalahkan’.
– AFP
Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan – Hafeez Anuar