Aktiviti pelancongan dalam negeri pada Fasa Dua PPN dibenarkan
Membabitkan aktiviti di homestay dan hotel
KUALA LUMPUR: Aktiviti pelancongan dalam negeri membabitkan aktiviti di homestay dan hotel bagi negeri fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya, dibenarkan bermula Selasa ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pengusaha homestay dan hotel perlu memastikan mereka yang ingin memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19, yang membuktikan mereka menerima vaksinasi lengkap.
Muhyiddin berkata demikian ketika menyampaikan pengumuman khas Perdana Menteri berkenaan kemudahan bagi individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap, hari ini.
Sementara itu, individu juga perlu menepati kriteria yang ditetapkan seperti jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac perlu melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua.
Manakala bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, individu berkenaan mestilah sudah melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan
Oleh Hafeez Anuar