Kuala Lumpur : Kempen ‘Berhenti Merokok’ bukanlah satu kempen baru yang diperkenalkan oleh Kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membawa negara ke arah bebas asap rokok.
Sebelum ini pelbagai kempen telah dilaksanakan antaranya, “Tak Nak Merokok” iaitu kempen bagi memperkasa orang ramai bagi menyatakan tidak kepada rokok dan tidak memulakan tabiat merokok.
Bukan itu sahaja, Speak Out: Express Your Right antara kempen yang dianjurkan bagi memperkasa golongan bukan perokok untuk menegur perokok yang merokok di sekeliling mereka.
Terbaru, Kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia menyebarkan kempen kesedaran dengan memulakan Generasi Penamat atau Generational End Game (GEG) sebagai satu bentuk kawalan perundangan yang melarang aktivti berkaitan merokok seperti:
- Tidak menggunakan
- Tidak menghisap
- Tidak berada dalam milik mereka sebarang bentuk produk merokok dalam kalangan generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan ke atas.
Kempen ini adalah untuk melindungi kesihatan generasi akan datang daripada masalah ketagihan nikotin serta bahan kimia berbahaya akibat daripada produk merokok.
Melihat di ruangan komen, rata-rata wargamaya menyokong usaha yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan dan KKM. Sebahagian daripada mereka berharap agar penguatkuasaan yang tegas dapat dijalankan. FB KKM
Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today