Semasa

PdPR 2 minggu lepas Aidilfitri

Cuti penggal disambung selepas tempoh PdPR

PUTRAJAYA 27 April – Sesi pembelajaran selepas cuti Hari Raya Aidilfitri akan diteruskan dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah,

Sesi pembelajaran bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B (Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Md Jidin memaklumkan keputusan itu dibuat bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 di sekolah selepas cuti perayaan Aidilfitri yang dijadualkan pada 7 hingga 15 Mei bagi sekolah kumpulan A dan 8 sehingga 16 Mei bagi sekolah kumpulan B.

Selepas tempoh PdPR itu, murid dan pelajar akan menyambung cuti penggal yang bermula 28 Mei sehingga 12 Jun bagi sekolah kumpulan A dan 29 Mei sehingga 13 Jun bagi sekolah kumpulan B.

“Jika tahun lalu ketika perayaan Aidilfitri sekolah tutup ketika itu, jadi kita tidak tahu data selepas raya macam mana. Kita khuatir terutama mereka yang akan pulang ke asrama kerana menjangkakan ada jangkitan yang akan didapati dari luar, jadi kita ambil langkah ini untuk mengawal penularan tersebut kerana selepas perayaan pelajar berada di rumah lebih lama,” – Menteri Kanan (Pendidikan) / Datuk Dr Radzi Md Jidin

Beliau menambah pelajar dan murid yang tinggal di asrama sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di seluruh negara turut akan dibenarkan pulang bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri dan juga akan melalui PdPR dalam tempoh dua minggu selepas cuti itu.

Sebelum ini takwim sekolah bagi 2021 menetapkan selepas cuti Aidilfitri, pelajar dan murid perlu hadir semula ke sekolah bagi meneruskan sesi pembelajaran selama dua minggu dan bercuti penggal selepas itu. – BH! Online

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button