1,500 petugas ditempatkan di plaza tol sepanjang cuti Aidilfitri
PETALING JAYA : Seramai 1,500 Pembantu Khidmat Pelanggan (CSA) akan ditugaskan di plasa dan Lorong tol sepanjang lebuh raya bagi memberi bantuan kepada pelanggan yang menghadapi masalah transaksi tol di lorong sepanjang cuti perayaan Aidilfitri.
Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, keselesaan pengguna adalah diutamakan dengan meminimumkan kesesakan di semua 1,100 lorong tol di 94 plaza tol sepanjang lebuh raya itu terutama dalam tempoh 29 April hingga 9 Mei nanti.
“Kakitangan tambahan dari Ibu Pejabat juga akan ditempatkan di plaza-plaza tol utama di seluruh negara.
“Kami meramalkan kemungkinan berlaku kesesakan akibat jumlah kenderaan yang tinggi di jalan raya, justeru saya ingin mengingatkan pelanggan lebuh raya kami untuk menjangkakan masa perjalanan yang lebih panjang ke destinasi mereka, katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Aplikasi PLUS boleh digunakan untuk merancang perjalanan lebih awal dan juga mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang baru sahaja dikeluarkan lagi serta menggunakan Waze dan Google Map untuk jangkaan pelan laluan perjalanan.
Menurutnya, ketika ini, kad Touch ‘n Go, SmartTAG merupakan mod pembayaran tol yang disediakan dan yang terbaharu, RFID sebagai pilihan tambahan kepada mod pembayaran yang sedia ada.
“Pemandu dinasihatkan agar menggunakan mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari lebuh raya. Sebagai contoh, sekiranya pelanggan menggunakan mod RFID ketika masuk ke lebuh raya melalui Plaza Tol Jalan Duta, mereka juga mestilah keluar dari lebuh raya melalui lorong RFID.
“Ini dapat mengelakkan mereka terkandas di lorong tol dan memberi kesan kepada perjalanan orang lain. PLUS juga menasihatkan orang ramai supaya memastikan baki e-Wallet (bagi transaksi RFID) dan baki kad Touch ‘n Go sentiasa mencukupi untuk perjalanan mereka,” jelasnya.
Tambahnya, pada ketika ini, terdapat lebih daripada 11,000 pusat tambah nilai kad Touch ‘n Go disediakan di seluruh negara termasuk di lebuh raya, mesin ATM, stesen-stesen minyak terpilih, kedai serbaneka serta lain-lain lokasi di luar ekosistem lebuh raya.
Jumlah ini termasuk 67 Kiosk Layan Diri (SSK) di plaza-plaza tol terpilih. Selain itu, terdapat 22 kaunter Touch ‘n Go Spot di stesen minyak terpilih sepanjang lebuh raya untuk membolehkan pelanggan membuat tambah nilai kad Touch ’n Go tanpa dikenakan sebarang caj tambahan.