Semasa

Akhirnya, mayat ketiga berjaya dikeluarkan

Selepas lebih 48 jam tersepit

KUALA LUMPUR 24 Mac : Mayat pekerja warga China yang dilaporkan tersepit dalam insiden kren terjatuh di projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berjaya dikeluarkan awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata mangsa yang sebelum ini dilaporkan terjatuh dan tersangkut di atas landasan lebuh raya sebelum tersepit di antara landasan pembinaan lebuh raya akhirnya berjaya dikeluarkan oleh tiga anggota pada pukul 3.58 pagi.

“Operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa setengah jam dan keadaan mayat sedang mereput,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di Kuala Lumpur,” Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur / Nordin Pauzi

Nordin berkata dengan mangsa terakhir berjaya dikeluarkan, operasi menyelamat selama tiga hari bermula Isnin lepas telah selesai dan kes diserahkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata mayat berkenaan telah dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Siasatan kes ini akan diserahkan kepada pihak JKKP untuk tindakan lanjut,” Ketua Polis Daerah Cheras ACP / Mohamed Mokhsein Mohamed Zon

Mangsa yang dikenali sebagai Mu Tong Zheng sebelum ini tidak dapat dikeluarkan disebabkan struktur binaan yang tidak stabil dan mangsa tersepit di antara rasuk binaan dan struktur kren gantri.

Insiden kren terjatuh pada Isnin lalu menyaksikan tiga pekerja warga China maut manakala seorang pemandu tempatan cedera parah akibat kren gantri terjatuh di tapak pembinaan lebuh raya berkenaan.

Oleh Pelatih Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button