Semasa

79 pelancong terkandas di Taman Negara diselamatkan

KUANTAN: Seramai 79 pelancong yang terkandas di Taman Negara, Jerantut, kira-kira 170 kilometer dari sini, berjaya dikeluarkan sebelum dihantar ke ibu negara lewat petang semalam.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Sabri Abdullah berkata kesemua mereka adalah pelancong yang mendaftar masuk di empat resort di Taman Negara semasa cuti hujung tahun.

“Kebanyakan mereka sepatutnya mendaftar keluar pada 31 Dis lepas, namun paras sungai yang naik mendadak dan melimpah di lima kawasan dalam Taman Negara menyebabkan keadaan tidak selamat untuk mereka menaiki bot untuk keluar.

“Mereka berada dalam jagaan pengusaha resort masing-masing sepanjang terkandas, namun keadaan semakin buruk apabila banjir berlarutan menyebabkan bekalan bahan mentah semakin berkurangan dan bekalan air bersih mula terputus,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Sabri berkata daripada jumlah pelancong itu, seramai 15 orang adalah pelancong asing yang menetap di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Ipoh, Perak.

Katanya, inisiatif membawa keluar pelancong itu dibuat selepas penduduk mendapat berita hujan di bahagian hulu berterusan selama enam jam, sekali gus berisiko menyebabkan banjir menjadi lebih buruk dan membahayakan nyawa pelancong.

Keadaan itu menyebabkan JKKK Kuala Tahan menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Jerantut meminta bantuan membawa keluar pelancong berkenaan.

Selain penduduk kampung, turut terlibat dalam operasi itu ialah polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Mazlan Hassan semasa dihubungi berkata operasi pemindahan berjalan lancar dan ditamatkan sekitar jam 7 malam tadi.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button