Bundesliga benar pemain Islam buka puasa ketika perlawanan berlangsung
BERLIN : Bagi memberi ruang kepada pemain beragama Islam untuk berbuka puasa, pengadil Bundesliga, Matthias Jollenbeck menghentikan sementara permainan pada minit ke-65 dalam perlawanan bola sepak antara Mainz dan Augsburg.
Pertahanan Mainz, Moussa Niakhate mengambil peluang itu untuk berbuka puasa dan perkara tersebut adalah kali pertama dalam sejarah perlawanan dihentikan bagi tujuan berkenaan.
Pengarah Komunikasi Jawatankuasa Pengadil Jerman Lutz Michael Frohlich, menyokong tindakan pengadil-pengadil memberhentikan permainan bagi membolehkan pemain berbuka puasa.
“Kami sokong tindakan pengadil-pengadil kami untuk memberi kebenaran rehat kepada pemain untuk mereka berbuka puasa meskipun tiada arahan khas mengenai perkara ini, kata Frohlich.
Selepas meminum air, pemain yang berusia 26 tahun itu berjabat tangan dengan Jollenbeck sebagai tanda terima kasih.
Dalam satu lagi perlawanan antara RB Leipzig dan Hoffenheim pada Ahad lalu, pengadil Bastian Dankert juga membuat perkara yang sama membenarkan Mohamed Siamakan rehat beberapa minit bagi berbuka puasa.
– AGENSI