DomestikSemasa

Masjid tertua di Sarawak mula beroperasi penghujung Ramadan

SIBU – Masjid yang berusia 161 tahun yang merupakan masjid tertua di Sarawak iaitu Masjid Al-Qadim dijangka akan mula dibuka semula bagi membolehkan umat Islam menunaikan solat Tarawih berjemaah, pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Innovasi dan Pembangunan Bakat Dr Annuar Rapaee berkata, masjid itu telah dibina oleh seorang ulama Indonesia yang datang berdakwah ke Sibu dengan kerjasama masyarakat Islam di Kampung Nyabor pada tahun 1861, dan mampu menampung 500 jemaah pada satu-satu masa, dan kini masjid itu baru sahaja dibaik pulih.

Tambahnya lagi, kali terakhir masyarakat Islam menunaikan solat Tarawih berjemaah dan solat wajib lima waktu di masjid bersejarah itu pada lima tahun lalu, iaitu sebelum masjid itu ditutup untuk kerja-kerja baik pulih sementara.

“Sudah semestinya masyarakat Islam di bandar ini, termasuk anak-anak Sibu yang sudah lama berada di perantauan amat teruja menunaikan solat Terawih di masjid bersejarah ini. Kos keseluruhan kerja baik pulih dan mengembalikan reka bentuk asal Masjid Al-Qadim ini, ialah kira-kira RM2.2 juta.

“Saya pelawa masyarakat Islam dan anak-anak Sibu yang sudah lama di perantauan, untuk balik kampung dan menunaikan solat Terawih di Masjid Al-Qadim pada bulan Ramadan tahun ini,” katanya.

Dr Annuar juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata masjid itu dilengkapkan dengan penghawa dingin sepenuhnya yang membolehkan umat Islam boleh menunaikan solat sunat Tarawih berjemaah dengan selesa.

Katanya beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkenaan, untuk menentukan tarikh sebenar masjid itu boleh dibuka sepenuhnya.

Sementara itu, beliau berkata masjid itu juga akan dijadikan sebagai tarikan pelancong di bandar Sibu.

– BERNAMA

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button