
KUALA LUMPUR : Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula 14 Mac dan berterusan sehingga pertengahan Mei 2022.
Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, dalam satu kenyataan berkata permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang bermula sejak 3 November 2021.
“Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam masa yang singkat.”
Tambah beliau, kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan negeri-negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
“Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia.” katanya.
Untuk mendapatkan maklumat terkini dan sahih, orang ramai boleh merujuk laman web: www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca.
Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.