Semasa

TH sumbang katil ICU bernilai RM2 juta kepada hospital KKM

PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyumbang sebanyak 81 unit katil elektronik bernilai RM2 juta, hari ini.

Merujuk hantaran laman Facebook rasmi, Lembaga Tabung Haji, sumbangan tersebut bertujuan untuk memenuhi keperluan katil-katil di unit rawatan rapi (ICU) di hospital terpilih di bawah KKM.

“Alhamdulillah, Tabung Haji dengan kerjasama KKM pada hari ini menyumbang 81 unit katil elektronik bernilai RM2 juta bagi menambah keperluan katil-katil ICU di hospital-hospital terpilih di bawah KKM di seluruh negara melalui Program A’fiat TH.” katanya.

Program A’fiat merupakan salah satu program yang dikendalikan pihak Zakat Tabung Haji bertujuan membantu hospital terpilih di seluruh negara dalam memberikan rawatan kepada para pesakit terdiri daripada golongan asnaf dan berpendapatan rendah (B40).

“TH berharap sumbangan ini dapat meningkatkan fasiliti kesihatan di hospital terlibat untuk memanfaatkan pesakit khusus asnaf dan mereka yang memerlukan.” ujarnya.

Sumbangan Korporat Keluarga Malaysia itu disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Tabung Haji, Datuk Sri Amrin Awaluddin kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu majlis sederhana di Putrajaya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi dan Timbalan Menteri Kesihatan II, Aaron Ago Dagang, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Sri Syed Salleh Syed Abdul Rahman.

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button