KAJANG : Peningkatan jumlah kes harian positif COVID-19 semakin memuncak sehingga membawa ke angka yang mengerikan iaitu sekitar 6,000 pada Rabu (19 Mei), Khamis (20 Mei) dan Jumaat.
Sehingga semalam kes positif COVID-19 di Malaysia mencatatkan sebanyak 6,806 kes dengan jumlah kematian sebanyak 59.
Lebih membimbangkan penularan varian baharu dikenal pasti dalam komuniti dari United Kingdom, Afrika Selatan dan India semakin mengganas.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan Perutusan Sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini juga meluahkan kerisauan beliau terhadap peningkatan kes ini.
“Malaysia kini berada pada titik genting. Dijangkakan jumlah kes harian akan mencecah lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang.”- Tan Sri Muhyiddin Yassin / Perdana Menteri
Justeru, peningkatan kes jangkitan positif COVID-19 di Malaysia yang semakin mencanak ini membuatkan pusat kuarantin yang disediakan semakin sukar untuk bernafas.
Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, kini berhadapan dengan lambakan kemasukan pesakit COVID kategori tiga.
Pada awal Januari lalu, pihak PKRC MAEPS hanya menyediakan sebanyak 60 katil sahaja untuk kategori ini, namun, kini PKRC Bersepadu MAEPS menampung seramai 757 pesakit di bawah kategori tiga.
Merujuk pada kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi hantaran di Facebook, JKNS bercadang menambah kapasiti kepada 1,000 katil bagi menampung sistem kesihatan di Lembah Klang yang sudah hampir padat dengan pesakit positif COVID-19 ini.
Walaubagaimanapun, dalam kepayahan petugas kesihatan mengendalikan pesakit dan fasiliti di PKRC ini, ada pula pesakit dalam dewan ini yang ‘tebal muka’ minta dilayan bak raja.
Pelbagai aduan dilaporkan berkenaan ketidakpuasan hati layanan yang diterima oleh petugas barisan hadapan di dalam dewan MAEPS itu. Antara luahan yang dilontarkan ialah :
“Hidup macam kat neraka.”
“Tempat kotor dan sejuk nak mati.”
“Tak ada sebarang ubat dan multivitamin diberikan.”
“Gagal menyediakan fasiliti sepatutnya seperti dulu yang mana dulunya ada penghadang yang memisahkan antara satu pesakit dengan pesakit yang lain supaya lebih privacy tetapi sekarang tak ada.”
Bukan itu sahaja, ada individu yang beranggapan ‘elok mati kat rumah daripada mati kat MAEPS’.
Wahai Malaysia, sedarlah, masuk pusat kuarantin itu pun bukannya dikenakan apa-apa bayaran. Makan dan minum semua ditanggung kerajaan. Cubalah bersyukur dengan apa yang disediakan.
Sayu hati petugas barisan hadapan menerima pesakit yang tidak mengenang budi seperti ini. Sudahlah mereka bermandi keringat sejak awal COVID , lebih menyedihkan segala usaha mereka dibalas dengan herdikan sebegini.
Daripada lantang memberi ulasan terhadap layanan petugas barisan hadapan, ada baiknya jika pesakit di dalam pusat kuarantin ini memperbanyakkan amal ibadah.
Contohi sikap para pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Dewan Jubli Perak, Kelantan. Alunan bacaan ayat suci Al-Quran diperdengarkan bagi mengisi rohani para pesakit di dalam dewan tersebut.
Usaha kakitangan Jabatan kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mempergiat amal ibadah di pusat kuarantin itu disambut baik oleh semua orang sejak awal pembukaan pusat itu pada 6 Januari lalu.
Menurut Pengarah PKRC Dr Azman Yacob, bacaan ayat suci Al-Quran diperdengarkan melalui sistem pembesar suara kira-kira setengah jam selepas solat Maghrib.
“Bacaan Yasin juga dilakukan beramai-ramai pada malam Jumaat sebagai pengisian rohani pesakit Covid-19 yang sedang menjalankan kuarantin di sini.” – Dr Azman Yacob/ Pengarah PKRC
Buat masa ini sahaja PKRC Bersepadu MAEPS sudah menempatkan 3,454 pesakit di mana 80% terdiri daripada warganegara Malaysia.
Peningkatan jumlah pesakit harian di Lembah Klang sudah tentu meningkatkan cabaran para petugas barisan hadapan dalam menyediakan perkhidmatan yang sebaik mungkin kepada pesakit.
JKNS dalam kenyataan mereka sudah menjelaskan punca sebenar perkhidmatan di MAEPS lambat. Hal ini kerana, petugas KKM harus mengetahui sejarah pesakit dan latar belakang mereka. Setiap pesakit perlu menjalani pemeriksaan fizikal serta kesihatan lain seperti ultrasound, x-ray paru-paru dan ujian-ujian darah.
Sudah tentu proses ini mengambil masa yang lama.
Selain itu, proses pendaftaran kemasukan pesakit ke dalam dewan rawatan pula perlu dilakukan dengan teliti agar kesilapan tidak berlaku. Pemeriksaan keselamatan adalah wajib bagi mengelakkan pesakit membawa barangan terlarang ke dalam pusat kuarantin.