Covid19KesihatanSemasa

Kes positif di Malaysia cecah setengah juta ! – COVID-19

Kawalan pergerakan diperketat usaha kerajaan cegah penularan

PUTRAJAYA : Purata jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia mencatatkan 6,320 jangkitan baharu melepasi angka setengah juta pada hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pertambahan kes hari ini meliputi tiga kes import hasil jangkitan luar negara.

Selangor masih mendahului dengan jumlah jangkitan tertinggi iaitu 1,647 kes,  diikuti Sarawak 749 kes dan Kuala Lumpur 654 kes.

Selangor juga mencatatkan 22 kematian baru, sementara Kuala Lumpur sembilan (9) kes kematian, diikuti oleh Johor lima (5) kes kematian, Kedah empat (4) kes kematian, Perak tiga (3) kes kematian, Sarawak dan Pahang masing-masing merekodkan dua (2) kes kematian.

Negeri Sembilan, Melaka dan Kelantan mencatatkan satu (1) kes kematian bagi setiap negeri tersebut.

Menjadikan jumlah kumulatif di negara ini mencecah 505,115 jangkitan.

Beliau berkata, jumlah kes aktif meningkat kepada 53,682, manakala 652 pesakit COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 370 memerlukan bantuan pernafasan.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi, (22 Mei) sebanyak 50 kematian baharu akibat COVID-19 dilapor membabitkan 48 rakyat Malaysia dan dua warga asing. Selain itu, sebanyak 17 kluster baharu COVID-19 dikesan,”  – Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah/ Ketua Pengarah Kesihatan

Sementara itu, dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersepakat memperketat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuat kuasa untuk tempoh empat minggu bermula 12 Mei 2021.

Pelaksanaan ini selaras dengan kadar kebolehjangkitan yang semakin meruncing. Antara Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi PKP 3.0 termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.

Kewujudan varian baharu dalam komuniti menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa lebih panjang.

Selain itu, pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuatkuasa ini akan lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Sepanjang tempoh PKP 3.0 ini, waktu operasi perniagaan termasuk di pusat beli-belah dan kedai makan hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.

Merujuk pada kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, peraturan itu akan berkuat kuasa di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula pada 25 Mei ini.

Beliau berkata, sistem pengangkutan awam juga akan dihadkan kepada 50 peratus sahaja kapasiti seperti dilaksanakan ketika PKP pertama dulu.

“Operasi perniagaan antaranya penjualan makanan pandu lalu, kedai runcit, kedai serbaneka yang sebelum ini dibenarkan hingga jam 10 malam kita pendekkan kepada jam 8 malam,”  – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob/  Menteri Kanan (Keselamatan)

Manakala, sistem operasi pejabat kerajaan akan terus dilaksanakan secara hibrid iaitu secara keberadaan pekerja di pejabat dan bekerja dari rumah (BDR).

Sebanyak 80 peratus pekerja sektor kerajaan akan bekerja di rumah.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, dalam kenyataan berkata hanya 20 peratus kakitangan kerajaan akan hadir ke pejabat manakala 80 peratus lagi secara BDR dengan penggiliran namun arahan itu tidak termasuk kakitangan perkhidmatan barisan hadapan.

Rakyat Malaysia diminta untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan susulan peningkatan jumlah kes positif semakin membimbangkan dan penularan varian baharu yang agresif.  Jika tiada keperluan untuk keluar rumah, tidak perlu untuk anda berada di luar, demi kesejahteraan dan keselamatan bersama.

Ayuh! sama-sama kita memerangi wabak COVID-19 ini.

 

 

Related Articles

Back to top button