DuniaSemasa

Afghanistan berdepan ancaman wabak taun selepas dilanda gempa bumi

KABUL : Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memberi amaran mengenai penularan taun di Afghanistan adalah kebimbangan serius dan perlu diberi perhatian khusus selepas gempa bumi kuat menggegarkan timur negara itu.

Menurut laporan Afghanistan Times, jurucakap Kementerian Kesihatan Afghanistan, Sharafat Zaman memberitahu bahawa ribuan penduduk yang terjejas akibat bencana itu amat memerlukan bekalan air dan makanan yang bersih.

“Orang ramai teramat memerlukan makanan dan air bersih, pihak kami sudah mendapatkan ubat-ubatan tetapi berdepan cabaran untuk menghantarnya kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal,” katanya kepada Reuters.

Justeru, beliau menegaskan bahawa mangsa terselamat mungkin berisiko dijangkiti penyakit kerana tidak mempunyai rumah atau tempat berlindung untuk tinggal.

PBB dan beberapa negara turut menyegerakan bantuan kepada kawasan terjejas termasuk banyak bantuan akan tiba dalam tempoh beberapa hari lagi.

Pemerintah Taliban menggesa agar sekatan dikenakan terhadap negaranya tindakan membekukan berbilion dolar dalam aset bank pusat yang disimpan dalam institusi kewangan Barat ditarik balik.

Di Kabul, banyak hospital yang digunakan untuk merawat mangsa perang membuka wad rawatan bagi mangsa gempa bumi.

Namun, majoriti penduduk kekal di kawasan yang musnah akibat gempa bumi.

Untuk rekod, tragedi gempa itu telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 1,000 orang terbunuh, 2,000 cedera dan 10,000 rumah musnah.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button