CARACAS : Mulanya dia enggan memberitahu kepada sesiapa pun status jangkitan Covid-19 yang disahkan ke atasnya.
Namun dalam perjalanan ke majlis keraian saudara maranya, Veronica Garcia Fuentes, 36, akhirnya memberitahu kepada suaminya mengenai kesihatan dirinya.
Fuentes akhirnya berterus-terang demi untuk mengelakkan dia daripada bergaul dengan saudara-mara.
Beberapa hari selepas itu, suaminya dimasukkan ke hospital dengan gejala yang serius dan seminggu kemudian, pasangan berkenaan dilaporkan meninggal dunia.
Ketiga-tiga anak mereka turut meninggal dunia pada akhir bulan lalu.
Itulah padah jika menyembunyikan status jangkitan Covid19.
Natijahnya, sebuah keluarga terdiri daripada lima beranak meninggal dunia selepas dijangkiti virus maut itu.
Lebih menyedihkan kerana kematian mereka bukan berpunca daripada orang lain sebaliknya daripada salah seorang keluarga mereka.
Newsweek melaporkan Veronica yang berasal dari Tachira, Venezuela jatuh sakit akibat demam pada pertengahan Disember lalu.
Akhbar tempatan Venezuela, La Nacion mendedahkan Fuentes mungkin merahsiakan statusnya yang dijangkiti Covid-19.
Pihak berkuasa perubatan di wilayah berkenaan berusaha menangani kes yang menyedihkan itu dengan memperketatkan peraturan berhubung pelitup muka dan penjarakan sosial.
Pakar turut memberi amaran kepada orang ramai supaya lebih waspada mengenai bahaya virus berkenaan.
Sehingga bulan ini, terdapat 127,346 kes Covid-19 disahkan di Venezuela dengan 1,196 kematian, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).