Covid19KesihatanSemasa

Tiada masalah nak makan durian lepas divaksin

Dakwaan lelaki maut sebab makan durian lepas divaksin tidak benar

TAPAH : Tindakan makan durian tidak memberi sebarang kesan terhadap individu sama ada sebelum atau selepas pengambilan suntikan vaksin Covid-19.

Hal ini susulan daripada hantaran yang tular di media sosial mengenai seorang lelaki didakwa meninggal dunia kerana memakan durian selepas menerima vaksin.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menjelaskan bahawa tiada dalam amalan perubatan yang menyatakan demikian sebaliknya pengambilan makanan berkhasiat dan seimbang adalah digalakkan sebelum dan selepas mengambil vaksin.

Timbalan Menteri Kesihatan – Dato’ Dr. Haji Noor Azmi Ghazali

“Tidak termaktub dalam buku perubatan tidak boleh makan durian selepas cucuk vaksin. Ini tidak betul, yang betulnya kita tidak boleh makan makanan terlalu manis. Itu yang boleh membawa masalah kepada kesihatan. Jadi, dakwaan seorang lelaki meninggal dunia kerana makan durian selepas menerima vaksin yang tular di media sosial adalah tidak benar dan sudah disahkan kematian disebabkan serangan jantung,” – Timbalan Menteri Kesihatan / Datuk Dr Noor Azmi Ghazali

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan tular di media sosial berkaitan kejadian seorang individu yang telah divaksin meninggal dunia selepas makan durian.

Orang ramai dinasihatkan supaya berhenti daripada menularkan cerita kononnya seorang lelaki meninggal dunia kerana makan durian selepas disuntik vaksin COVID-19.

Dr Noor Azmi berkata, hantaran tular seumpama itu boleh menyebabkan berlaku salah faham dan kekeliruan kepada orang ramai.

“Sekarang pula musim durian. Orang sudah takut nak makan durian, mana yang sepatutnya cucuk vaksin takut nak pergi sebab dia makan durian. Kita nasihat orang ramai supaya semak dahulu, pastikan kebenarannya. Jangan teruja mahu menularkan kepada semua dan perkara kontroversi yang kita sendiri tidak pasti. Biarlah kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjawabnya dan menjelaskan secara saintifik dan data,” Timbalan Menteri Kesihatan / Datuk Dr Noor Azmi Ghazali

Terdahulu, satu hantaran tular di media sosial mendakwa seorang lelaki meninggal dunia di sebuah restoran di Jalan 3/36 Taman Sri Bintang kerana makan durian selepas menerima vaksin.

Hasil bedah siasat ke atas individu berusia 49 tahun itu mendapati punca kematiannya adalah adalah ‘ischemic heart disease’ (serangan jantung) dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

– BH Online

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button