Bangi : Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan hampir di seluruh negeri di Malaysia, juga mengakibatkan perubahan dalam sistem pembelajaran di sekolah. Para pelajar sekolah terpaksa melupakan kelas bersemuka dengan guru dan belajar melalui sistem online.
Bagi memudahkan sistem pembelajaran online, Kementerian Pendidik Malaysia menyediakan buku teks digital percuma untuk kegunaan pelajar. Ia boleh dimuat turun secara percuma di laman sesawang www.textbook.moe.gov.my. Ia juga boleh terus dimuat turun melalui Google Play Store atau Apple App Store dengan carian KPM eTextbook Reader.
Namun ada yang mengambil kesempatan dengan menjual buku teks digital ini melalui laman Shopee dan Lazada. Ini adalah kesinambungan isu cetak rompak buku-buku yang dijual murah di laman tersebut. Ia dijual serendah RM1.00.
Diharapkan ibu bapa terus ke laman sesawang Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan buku teks digital untuk pembelajaran anak di rumah. Bersama kita menghapuskan cetak rompak.