Covid19KesihatanSemasa

Dr Fatihah selamat lahirkan bayi biarpun koma dijangkiti COVID-19

Pohon doa kesembuhan keluarga Dr Fatihah

KUALA LUMPUR :  Rakyat Malaysia diminta bersama-sama memanjatkan doa untuk kesembuhan seorang doktor wanita yang baru sahaja melahirkan bayi biarpun dirinya dijangkiti COVID-19 kategori empat.

Menurut bapa saudaranya, Mohd Ali Mohd Derus, berkata bayi Dr Fatihah selamat dilahirkan malam tadi di Hospital Sungai Buloh.

Bayi seberat 1.38 kg yang baru sahaja berusia tujuh bulan, terpaksa dikeluarkan lebih awal bagi mengelak sebarang komplikasi yang lebih memudaratkan.

Perkongsian terkini daripada ahli keluarga mengenai keadaan bayi Dr Fatihah – Sumber Twitter @Zieha_malek

Sementara itu, bapa, Shahrudin Abu Bakar, 56, menerima kiriman Whatsapp daripada Dr Fatihah Shahrudin, 29, sebelum beliau dimasukkan ke ICU di Hospital Sungai Buloh, akibat dijangkiti COVID-19 sejak seminggu lalu.

“Semakin teruk ayah, ini pun tunggu nak masuk ke ICU (unit rawatan rapi). Doakan yang terbaik untuk Tehah.” – Dr Fatihah Shahrudin

Walaubagaimanapun, bayi yang juga anak ketiga pasangan itu dilaporkan stabil manakala Dr Fatihah juga dilaporkan stabil dan masih dirawat di ICU.

30 Mei lalu, Dr Fatihah pada mulanya dimasukkan ke Hospital Kajang selepas dimaklumkan dijangkiti kuman pada paru-parunya, sebelum disahkan positif COVID-19 sehari selepas itu, hasil saringan bergejala di hospital berkenaan.

Pada 3 Jun (Khamis), beliau dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan susulan.

Selain Dr Fatihah, ahli keluarga termasuk suami dan dua lagi anaknya, turut disahkan positif COVID-19 dan kini sedang dikuarantin di rumahnya.

Berita mengenai Dr Fatihah sebelum ini dikongsi menerusi satu ciapan di laman Twitter Public Health Malaysia, selain ramai pengguna media sosial itu turut mendoakan supaya Dr Fatihah dan bayinya selamat.

Wartawan UmmahToday – Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button