Semasa

Warga Bangladesh burukkan Malaysia diusir malam ini

Disenarai hitam selama-lamanya

Warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir, 25, yang membuat kenyataan berhubung layanan buruk pihak berkuasa Malaysia kepada warga asing diusir ke negara asalnya malam ini.

Dia yang ditemu bual dalam dokumentari Al Jazeera bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” dibawa ke Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada kira-kira jam 9:00 tadi oleh pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)

Md Rayhan yang berbaju kemeja dan membawa sebuah beg sandang, sempat melambai dan menunjukkan isyarat tanda bagus kepada kumpulan media sebelum dibawa masuk ke kaunter imigresen.

Difahamkan dia akan menaiki penerbangan Malaysia Airlines ke Dhaka, Bangladesh pada jam 11:00 malam.

Md Rayhan ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada 24 Julai, selepas JIM memohon bantuan orang awam menjejaki individu berkenaan yang muncul dalam dokumentari Al Jazeera.

Menerusi dokumentari itu, Md Rayhan membuat kenyataan berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membanteras penularan COVID-19.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud sebelum ini memaklumkan Md Rayhan akan diusir ke negara asal selepas semua siasatan polis selesai selain pas lawatan kerjanya ditamat dan disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia selama-lamanya.

— BERNAMA

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button