Covid19KesihatanSemasa

Lagi Kluster baharu! Kluster Maju di Titiwangsa

Berpunca daripada pekerja restoran, 16 pekerja & 656 pelanggan disaring

Satu lagi kluster baharu dikenali sebagai Kluster Maju dikesan  berpunca daripada dua pekerja sebuah restoran di Titiwangsa di Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kedua-dua mereka yang merupakan kes pertama kluster itu (kes ke-9176 dan kes ke-9177) telah dikesan hasil saringan rawak ke atas pekerja restoran dan kedai makan yang dijalankan di sekitar bandar raya Kuala Lumpur.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan kes baharu kluster ini yang merupakan pelanggan restoran itu telah dikesan. Beliau mengalami gejala sakit tekak dan sakit kepala sejak 17 Ogos dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam satu kenyataan akhbar perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini (Jumaat) seramai 672 orang telah disaring, termasuk 16 pekerja dan 656 orang pelanggan.

“Daripada jumlah itu, tiga kes dikesan positif COVID-19 dan 669 individu negatif,” katanya.

Beliau berkata aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat sedang diteruskan.

Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar juga telah dijalankan di kedai makan terlibat.

Mengenai status terkini kluster Tawar di Kedah, Tan Sri. Dr Noor Hisham berkata terdapat tiga kes baharu dilaporkan hari ini dengan menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 kluster ini sebanyak 58 kes.

“Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 2,733 orang telah disaring dalam kluster ini,” katanya.

Sementara itu, sebanyak sembilan kes baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, melibatkan empat kes import dan lima kes penularan dalam negara.

Beliau berkata perkembangan terbaharu setakat 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah terkumpul kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 9,249 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus berkenaan sebanyak 179 kes.

– BERNAMA

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button