Semasa

Isu Kalimah Allah, Datuk Zulkifli akan jumpa mufti semua negara esok

Kesepakatan untuk tindakan segera, teratur & berprinsip

KUALA LUMPUR 15 Mac : Satu pertemuan membabitkan para mufti di seluruh negara dan pakar undang-undang akan diadakan esok bagi memutuskan resolusi muktamad berkenaan isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.

Pertemuan itu disarankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Lapor portal berita Al-Bayan, pertemuan tersebut dijangka berlangsung esok.

Cadangan pertemuan bersama para mufti itu dibuat selepas perbincangan bersama Panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Penasihat Undang-Undang JAKIM pada hari Jumaat yang lalu.

“Kita mahu mendapatkan kesepakatan mufti dan pakar undang-undang kerana kita inginkan tindakan segera yang teratur dan berprinsip. Ini isu melibatkan teknikal.

“Berhubung isu akidah, apa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sejak 2008 sudah jelas,” kata Datuk Seri Zulkifli memetik laporan Al-Bayan.

Sumber portal berita itu juga memaklumkan agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah diminta untuk memberi penerangan yang terperinci kepada orang ramai melalui pelbagai saluran berkenaan isu kalimah Allah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain iaitu solat, Kaabah dan Baitullah dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Keputusan itu mengundang pelbagai reaksi khususnya umat Islam di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador juga telah memberi amaran , polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mengadakan demonstrasi jalanan berhubung keputusan mahkamah itu.

 

 

Related Articles

Back to top button