Covid19Semasa

Lipat gandakan usaha promosi bulan kebangsaan dengan kebiasaan baharu

Tanpa perarakan, sambutan bulan kebangsaan diteruskan

KUALA LUMPUR: Kementerian, agensi, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak swasta dan rakyat perlu melipatgandakan usaha mempromosikan bulan kebangsaan kali ini dalam berhadapan dengan norma baharu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata kerajaan menggesa semua pihak memainkan peranan penting itu bagi menyemarakkan semangat bulan kebangsaan, memandangkan sambutan pada tahun ini berbeza daripada sebelumnya kerana negara sedang berdepan pandemik COVID-19.

Perkara itu, katanya turut dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet hari ini, yang memutuskan sambutan bulan kebangsaan akan diteruskan walaupun tidak seperti kebiasaan yang dijalankan selama ini.

“Walaupun berdepan dengan krisis kesihatan global dan tanpa perarakan atau sambutan, itu bukan penghalang semua pihak tidak meraikan semangat kemerdekaan. Gunakan semua platform daripada kibarkan bendera di premis dan kediaman atau kenderaan, juga di media sosial. Kita perlu guna kreativiti dalam media sosial.

“Buat apa saja secara kreatif yang bersesuaian. Kongsikan kenangan itu, biar ia tular dan diketahui semua orang di seluruh negara. Ini kerana, kerajaan merasakan media sosial adalah platform utama sambutan bulan kebangsaan pada kali ini.

“Kementerian juga menggesa supaya semua memainkan peranan masing-masing termasuk memainkan lagu-lagu kebangsaan sepanjang bulan kebangsaan ini,” katanya selepas merasmikan Bulan Kemerdekaan Telekom Malaysia Bhd (TM) di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr Fadhullah Suhaimi Abdul Malek; Pengerusi TM, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif TM, Imri Mokhtar. -Berita Harian

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Check Also
Close
Back to top button