Pendidikan

Tarikh UPKK dipinda tahun depan!

UPKK 2020 sekali dengan UPKK 2021

PUTRAJAYA – Ujian Penilaian Kelas Agama dan Fardu Ain (UPKK) bagi subjek bertulis yang dibatalkan tahun ini berikutan penularan wabak COVID-19 akan dibuat serentak dengan calon UPKK tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan semua pihak.
Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuat keputusan UPKK bagi lima subjek bertulis iaitu Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah); Sirah; Jawi dan Khat; Adab dan Lughah Al-Quran bagi calon 2020 yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 akan disekalikan dengan calon UPKK 2021, pada 4 hingga 7 Oktober 2021.
“Jakim percaya pematuhan maksimum kepada prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bermula pada 3 Ogos lalu menunjukkan suasana positif.
“Ia sama sekali tidak menjejaskan persediaan dan persiapan calon untuk menduduki ujian berkenaan yang dijadualkan pada 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Datuk Seri Dr. Zulkifli memaklumkan pindaan turut dibuat bagi subjek al-Quran yang merangkumi Ujian Lisan Tadarus dan Tilawah al-Quran, Hafazan dan Tafsir al-Quran.
“Ujian bagi subjek ini akan dilaksanakan pada 1 hingga 30 September 2021.
“Jadual pelaksanaan bagi ujian bertulis, amali dan lisan akan dimaklumkan kelak,” katanya.
Beliau berkata, penjadualan itu membolehkan calon membuat persediaan mencukupi sebelum menduduki peperiksaan, tahun depan.
Menurutnya, Jakim turut melaksanakan perubahan bagi kaedah penilaian untuk subjek berbentuk amali.
“Sebarang catatan penilaian sepanjang sesi persekolahan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk ujian bulanan, aktiviti dalam dan luar bilik darjah, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) boleh diambil kira sebagai salah satu bentuk penilaian.
“Ini membabitkan subjek Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam,” katanya. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button