PendidikanSemasa

PdPR, tangani dengan hemah dan hikmah demi pendidikan generasi pewaris negara

TV Pendidikan di siaran televisyen, dan bantuan kepada yang tidak berkemampuan

20 Januari adalah tarikh yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan untuk semua sesi pembelajaran bagi tahun 2021 bermula.
Namun, menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu itu – atau mungkin boleh disebut sambungan sesi sekolah sebelumnya kerana ramai murid  yang masih tidak habis silibus.
Malah bagi calon,  Sijil Pelajaran Malaysia 2020, peperiksaan percubaan pun belum lagi tamat.
Kementerian Pendidikan terpaksa mengubah segala yang telah dijadualkan apabila kes harian penularan Covid-19 terus meningkat, dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ke-2 serta darurat.
Padahnya, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) terpaksa dilaksanakan temasuk bagi mereka yang baru mahu mengenal erti persekolahan sebenar, terutamanya kepada seramai 429,275 orang murid Tahun Satu bagi kemasukan 2021 di seluruh negara.
Ramai melontarkan pandangan tidak kurang komentar terhadap keputusan dan tindakan kementerian Pendidikan.
Viral pula di media sosial  istilah `tidak boleh bawa telefon ke sekolah, kini sekolah dalam telefon, selain jenaka satira yang diwujudkan orang ramai dalam bahasa satira yang tersendiri berhubung dunia pendidikan masa kini.
Di dalam kehidupan norma baharu ini, ramai pihak yang masih mencari titik persamaan yang betul betul dapat memuaskan semua pihak, lebih-lebih lagi golongan pelajar.
Matlamat utama pendidikan kepada golongan murid sasaran yang berbeza, dari sudut, demografi, lokaliti dan latar belakang keluarga mencakupi segala hal perlu diperhalusi dalam setiap perkara.
Bagi murid Tahun Satu kemampuan penguasaan 3M, iaitu Menulis, Membaca dan Mengira adalah perkara utama dititik beratkan Kementerian dalam situasi PdPR ketika ini, selain memastikan golongan kanak-kanak tercicir pembelajaran tidak berlaku.
Kebimbangan Persatuan Guru-guru dan Tenaga Pengajar juga dibangkitkan supaya kesukaran golongan kurang berkemampuan dalam kaedah PdPr diberi perhatian, membabitkan kecapaian internet, gajet pembelajaran dan juga pemahaman kepada pelajar.
Antara cadangan difikirkan juga ialah TV Pendidikan, untuk memudah cara murid-murid dalam pembelajaran.
Menteri Kanan (Pendidikan),  Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata kerajaan telah pun mewujudkan semula TV Pendidikan yang disiarkan di televisyen konvensional pada 6 April tahun lalu iaitu sejurus selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac lalu.

Tambah beliau saluran itu telah mula diperkenalkan sejak tahun 1972 lagi dan kemudiannya dipindahkan ke dalam talian melalui EduwebTV pada 1 Mac 2008.

Menurut beliau, bermula 1 Januari 2009, TV Pendidikan tidak lagi disiarkan di saluran TV konvensional.

“Kementerian telah mewujudkan semula TV Pendidikan konvensional bagi membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti sesuai untuk mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).  Pada masa ini TV Pendidikan bersiaran selama sembilan jam sehari iaitu dua jam di TV Okey, empat Jam di Astro Tutor TV dan tiga jam di NTV7,” – Menteri Kanan (Pendidikan) /Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin

Beliau memberi penjelasan itu dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Dr. Mohd. Radzi berkata, bagaimanapun, pihak kementerian sedar jumlah masa siaran itu masih belum mencukupi dengan mengambil kira keadaan semasa.

Justeru, kementerian sentiasa berusaha untuk terus memperkasakan TV Pendidikan dengan pendekatan yang bersesuaian.

“Kementerian Pendidikan sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Pelbagai  pihak menyarankan Kementerian Pendidikan segera melaksanakan pembelajaran melalui saluran televisyen  secara komprehensif dan bersepadu sebagai alternatif kepada pembe­lajaran dalam talian sewaktu tempoh darurat ketika ini.

Kaedah itu dilihat lebih sesuai memandangkan capaian kepada saluran televisyen seperti RTM terdapat di seluruh negara.

Sementara itu bagi pembelajaran agama, slot Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bakal disiarkan setiap hari di TV AlHijrah bagi menjamin pendidikan agama di kalangan pelajar terutama di peringkat sekolah rendah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pihaknya mengambil maklum tentang kerisauan ibu bapa berkenaan kelas KAFA anak-anak mereka.

“Pendidikan keagamaan dan nilai murni kepada anak-anak sentiasa menjadi keutamaan kami. TV AlHijrah di zaman saya adalah TV pendidikan, tarbiah, hiburan Islami dan ilmiah untuk seisi keluarga,” – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Tambahnya rancangan pendidikan agama itu akan dilaksanakan agensi di bawah kementeriannya melalui kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) serta TV AlHijrah.

Makluman lebih lanjut berhubung slot pendidikan itu katanya akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Slot pendidikan itu akan disiarkan setiap hari Isnin hingga Ahad pada jam 4.30 petang dan ulangan pada hari sama jam 6.30 petang.

Ujarnya pada hari Isnin slot pendidikan itu akan menyiarkan mengenai Akidah dan Ibadah, Selasa pula mengenai Sirah, Rabu pendidikan Jawi dan Khat, Khamis pendidikan Adab, dan Jumaat pengajian Lughatul Quran.

Pada Sabtu pula slot pendidikan KAFA akan menyiarkan Penghayatan Cara Hidup Islam, manakala Ahad pula mengenai Amali Solat dan Bidang Quran

Sesungguhnya isu pendidikan adalah antara isu panas yang perlu ditangani secara berhemah dan hikmah kerana sebarang pelaksanaannya bukan sahaja membabitkan institusi pendidikan itu sahaja, sebaliknya institusi keluarga dan sosial.

Perlu diingat masa hadapan kanak-kanak bergantung kepada sistem pendidikan negara.

Dalam tempoh darurat yang berlaku kini, semua pihak harus bersabar, terutama ibu bapa untuk memberi contoh yang baik kepada generasi pewaris bangsa bahawa waktu sukar ini adalah waktu bersama-sama kita membangunkan negara.

Bukan sahaja institusi pendidikan malah hampir kesemua sektor terjejas, yang bukan sahaja memerlukan kesabaran tapi menuntut pemikiran atau kaedah baharu dalam norma kehidupan baharu selagi Coronavirus bertakhta.

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button