PendidikanSemasa

Pendidik positif terhadap pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi

KUALA TERENGGANU: Langkah Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah menengah mendapat reaksi positif daripada kalangan pendidik.

Bekas Timbalan Pengetua Maktab Rendah Sains Mara Kuala Berang, Omar Adam berkata inisiatif tersebut perlu diberi pujian, bagaimanapun pelaksanaan serta penerapannya harus kemas dan tersusun bagi memastikan ia bukan sekadar teori atau retorik.

Beliau berkata proses pengajaran dan pembelajaran modul berkenaan sebaiknya dilaksanakan secara praktikal atau pengalaman kepimpinan bagi memastikan ia lebih berkesan dan melekat di hati pelajar.

“Maksudnya perkongsian sesuatu hadis perlu terus diberi contoh perbuatan atau perlakuan berdasarkan hadis-hadis tersebut“.

Omar Adam, Bekas Timbalan Pengetua Maktab Rendah Sains Mara Kuala Berang ditemubual wartawan

“Misalnya addin annasihah..agama itu nasihat. Jadi pelajar diminta untuk menasihati orang lain dan diproses perasaan mereka semasa memberi nasihat. Kita (guru) beritahu mana-mana hadis dan pelajar perlu terus mempraktikkan hadis tersebut supaya mereka dapat menghayati dan bukan sekadar belajar teori“, katanya kepada BERNAMA.

Sementara itu, guru mata pelajaran Pendidikan Islam dan Tasawwur Islam di sebuah sekolah menengah di sini, Abdul Hadi Sulaiman berkata langkah tersebut dilihat bertepatan dengan masa memandangkan golongan remaja hari ini semakin terdedah dengan permasalahan moral.

Beliau berkata Hadis 40 Imam Nawawi amat digalakkan sebagai satu panduan hidup Muslim yang menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh ikutan.

Hadis 40 Imam Nawawi merangkumi semua hadis berkaitan manusia yang menjadi asas akidah agama yang penting bagi orang Islam.

“Proses penyampaian kepada pelajar perlu kepada kaedah yang interaktif supaya benar-benar sampai dan dihayati“, katanya.

KPM baru-baru ini melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah, yang akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun depan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata modul itu membolehkan guru dan pelajar mendapat penghayatan khususnya untuk memastikan nilai pesanan dan perkara baik dalam hadis dibaca dan dihayati.

BACA JUGA
Jangan ganggu, campur tangan urusan Islam di negara ini – MAPIM

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button