BanjirSemasa

Mangsa banjir di Pahang semakin berkurangan

Beberapa kawasan di Pahang mengalami tekanan air rendah

KUANTAN: Mangsa banjir di negeri Pahang kini mula berkurangan dan kesemua mangsa yang terjejas masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

keadaan banjir di Pekan, Pahang yang melanda sebelum ini. pic: Ihsan BeritaHarian

Seramai 7,990 mangsa daripada 2,208 keluarga masih ditempatkan di 102 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah di negeri ini, setakat 8 pagi ini.

Berbanding petang semalam, portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 8,869 orang daripada 2,413 keluarga berada di 110 PPS di lapan daerah.

Berdasarkan rekod, Pekan mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 3,317 mangsa daripada 932 keluarga; diikuti Maran 1,903 (547 keluarga).

Di Temerloh pula merekodkan 790 mangsa daripada 227 keluarga; Bera 715 (196 keluarga), Lipis 353 (93 keluarga) dan Jerantut 34 (10 keluarga).

Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memaklumkan beberapa kawasan di negeri ini dijangka mengalami tekanan air rendah susulan kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini.

Banjir yang melanda negeri Pahang sebelum ini. pic: Ihsan PahangMedia

Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Saiful Zaini Mohd Bokhari, berkata keadaan itu berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya penggunaan air yang tinggi secara serentak bagi tujuan pembersihan rumah dan premis yang terjejas akibat banjir.

“Kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan yang menyebabkan jajaran paip pecah dan terputus turut menjadi faktor berlakunya tekanan air rendah,” kata Saiful Zaini Mohd Bokhari dalam kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, hampir semua LRA sudah beroperasi sepenuhnya untuk membekalkan air kepada pengguna dan ada masih di dalam proses pemulihan.

Justeru itu, penduduk dinasihatkan untuk menggunakan air secara berhemah.

 

Muhammad Arshad Bin Azmi(Pelajar Fakulti Animasi UITM)

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button