PalestinSemasa

Kereta kebal israel mara ke utara Gaza, pesawat pejuang serang Rafah

Kereta kebal israel telah kembali ke beberapa kawasan di utara Gaza yang telah mereka tinggalkan beberapa minggu lalu, manakala pesawat perang melancarkan serangan udara ke atas Rafah, membunuh dan mencederakan beberapa orang, kata pegawai perubatan dan penduduk.

Penduduk Palestin melaporkan pada hari Selasa gangguan internet di kawasan Beit Hanoon dan Jabalia di utara Gaza.

Kereta kebal mara ke Beit Hanoon dan mengepung beberapa sekolah di mana keluarga yang dipindahkan telah berlindung, kata penduduk dan media kumpulan penentang Palestin Hamas.

“Askar pendudukan mengarahkan semua keluarga di dalam sekolah dan rumah berdekatan di mana kereta kebal telah maju untuk berpindah. Askar menahan ramai lelaki,” kata seorang penduduk di utara Gaza.

Beit Hanoon, rumah kepada 60,000 orang, adalah kawasan pertama yang menjadi sasaran serangan darat kejam israel di Gaza Oktober lalu.

Pengeboman hebat menjadikan kebanyakan Beit Hanoon, yang pernah dikenali sebagai ‘bakul buah’ kerana kebunnya, menjadi bandar hantu yang terdiri daripada timbunan runtuhan.

Ramai keluarga yang telah kembali ke Beit Hanoon dan Jabalia dalam beberapa minggu terakhir selepas tentera israel berundur, kembali keluar pada hari Selasa kerana serbuan baharu itu, kata beberapa penduduk.

Pegawai kesihatan Palestin berkata, dalam satu serangan, israel membunuh empat orang dan mencederakan beberapa yang lain di Rafah, di mana lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza berlindung dan bersiap sedia menghadapi serangan darat israel.

Selepas enam bulan bertempur, masih tiada tanda-tanda kejayaan dalam rundingan yang yang diketuai Qatar dan Mesir untuk mencapai perjanjian gencatan senjata di Gaza.

israel masih mengenakan sekatan yang melanggar undang-undang ke atas bantuan kemanusiaan untuk Gaza, kata pejabat hak asasi manusia PBB pada hari Selasa, walaupun dakwaan dari israel dan lain-lain bahawa halangan telah berkurangan.

israel berada di bawah tekanan antarabangsa untuk membenarkan lebih banyak bantuan ke Gaza, terutamanya kawasan utara di mana kebuluran dijangka menjelang Mei, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI

 

Related Articles

Back to top button