Semasa

PGSM sambut baik permohonan tuntutan cerai dan nafkah serentak

KUALA LUMPUR : Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob supaya hakim Mahkamah Syariah membuat perintah secara serentak bagi permohonan perceraian dan urusan tuntutan nafkah isteri serta anak-anak.

Presiden PGSM, Musa Awang dalam satu kenyataan berkata cadangan tersebut mampu mengelakkan masa  yang terlalu lama diambil untuk menyelesaikan isu tersebut sehingga bekas isteri dan anak-anak tidak mendapat keadilan.

Berdasarkan pelaksanaan kini, kes difailkan satu persatu ke mahkamah iaitu dengan menyelesaikan kes perceraian terlebih dahulu sebelum tuntutan nafkah iddah dan nafkah anak-anak dibuat.

“Tuntutan nafkah akan memakan masa yang lama sekiranya ada pertikaian antara pihak terbabit berhubung jumlah atau kadar nafkah.” katanya.

Tambah Musa, tuntutan perceraian di Mahkamah Syariah kebiasaannya tergolong dalam tiga kategori iaitu pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, penceraian dengan talaq atau perintah serta penceraian secara taklik.

“Berdasarkan peruntukan undang-undang, nafkah anak-anak boleh dituntut sama ada suami atau isteri telah disahkan bercerai atau belum bercerai.

“Seksyen 72 Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam menyatakan kewajipan seorang bapa menanggung nafkah anak-anaknya berupa tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran (yang munasabah), samada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain.” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Musa berkata, sekiranya suami (bapa) bersetuju dengan kadar nafkah yang dicadangkan oleh isteri (ibu) atau mungkin lebih sedikit daripada jumlah yang dicadangkan berdasarkan kemampuan suami, maka dengan persetujuan itu Mahkamah boleh memerintahkannya sebagai perintah.

Terdahulu, pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mengeluarkan Arahan Amalan Mahkamah Syariah No. 5 Tahun 2019 – Garis Panduan Skala Pentaksiran Jumlah Nafkah Anak yang boleh dijadikan panduan oleh Hakim-Hakim Syariah dalam membuat penentuan kadar nafkah yang munasabah.

“PGSM optimis bahawa cadangan Perdana Menteri ini boleh dilaksanakan dengan baik sekiranya mendapat kerjasama semua pihak yang terlibat sama ada di pihak litigan, Mahkamah Syariah termasuk Peguam-Peguam Syarie, dengan meletakkan matlamat memberikan keadilan sebagai keutamaan.” katanya.

 

Related Articles

Back to top button