Covid19DomestikSemasa

COVID-19: Sebanyak 367 kluster pendidikan dilapor sejak awal tahun

KUALA LUMPUR: Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menerima laporan tentang kluster pendidikan iaitu sebanyak 367 dalam tempoh awal tahun ini hingga Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 21 kluster pendidikan daripada jumlah itu sudah tamat, manakala baki 346 lagi masih aktif.

Trend mingguan kluster pendidikan menunjukkan peningkatan ketara daripada Minggu Epidemiologi (ME) 1/2022 hingga ME 7/2022.

“Terdapat trend penurunan pada ME 5/2022 disebabkan cuti perayaan Tahun Baharu Cina, namun trend ini dilihat kembali meningkat pada ME 6/2022 dan ME 7/2022 dengan peningkatan kes ketara di seluruh negara,” katanya hari ini.

Kluster pendidikan yang dilaporkan paling tinggi bagi negeri adalah Kelantan dengan 54 kluster, diikuti Selangor (49), Pahang (38), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (37) dan Sabah (34).

Dr Noor Hisham memberitahu, siasatan mendapati 328 kluster atau 89.4 peratus dengan kes indeks adalah pelajar, 31 kluster (8.5 peratus) adalah guru atau pensyarah, enam kluster (1.6 peratus) pula kakitangan sokongan pusat pendidikan serta baki dua kluster (0.6 peratus) dengan kes indeks adalah keluarga.

Katanya, majoriti kes dilaporkan adalah kategori bergejala ringan atau tiada gejala dengan pecahan 12,579 kes (76.4 peratus) dalam kategori 2; 3,850 (23.4 peratus) kategori 1 dan 35 (0.2 peratus) kategori 3 serta 4 dengan semua kes sudah mendapatkan rawatan dan stabil.

Beliau berkata, peringkat sekolah menengah melaporkan kluster paling tinggi, iaitu sebanyak 232 kluster diikuti kolej (68), sekolah rendah (25), universiti (22) dan prasekolah (20).

“Kesemua 257 sekolah terbabit adalah di bawah pelbagai agensi, termasuk Kementerian Pendidikan (KPM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan maahad tahfiz. Sehingga 19 Februari lalu, sebanyak 232 kluster membabitkan sekolah menengah dan 25 kluster sekolah rendah masih aktif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Daripada jumlah itu, 107 sekolah atau 42.3 peratus ditutup sementara untuk pembersihan dan dijadikan tempat kuarantin dan 150 sekolah (58.4 peratus) hanya memerlukan penutupan kelas.

Beliau berkata, siasatan menunjukkan punca utama jangkitan dan penularan COVID-19 dalam kalangan warga pendidikan disebabkan pelbagai perkara, termasuk ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam dan luar waktu pengajian, terutama di asrama atau di rumah sewa pelajar.

“Amalan pemakaian pelitup muka semasa di asrama juga didapati masih belum pada tahap optimum. Cadangan penambahbaikan, termasuk guru, pensyarah atau anggota kumpulan pelaksana yang keluar masuk ke sekolah disaran untuk melakukan ujian pengesanan COVID-19 secara berkala dan melaporkan gejala termasuk pengasingan awal.

“Sistem untuk mengenal pasti pelajar yang bergejala dengan cepat perlu dipertingkatkan seperti melalui ketua kelas atau ketua asrama,” katanya.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button