Semasa

Zuhal, Musytari di kedudukan paling dekat dan selari semalam

Tunggu 80 tahun lagi

KUALA LUMPUR : Dua planet gergasi iaitu Musytari dan Zuhal berada selari antara satu sama lain merupakan fenomena astronomi istimewa pada pengakhiran tahun 2020.

Fenomena ini juga disebut sebagai ‘Rare Great Conjunction of Jupiter and Saturn’ – menjelaskan kedudukan di mana  Musytari dan Zuhal akan kelihatan paling dekat seolah menghampiri antara satu sama lain.

Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), kedua-dua planet kelihatan paling dekat seperti planet berkembar, dan hampir sejajar dari Bumi dengan jarak sudut 1/10 darjah, dan jarak antara kedua-duanya lebih kurang 1/5 diameter bulan purnama.

Fenomena ini boleh dilihat dengan mudah melalui mata kasar di langit kawasan Khatulistiwa pada ketinggian lebih kurang 29 darjah pada arah barat daya selepas terbenamnya matahari semalam.

Fenomena ini berlaku setiap 20 tahun sekali, dengan konjungsi atau kedudukan kedua-dua planet ini akan berada dalam satu jajaran ketika mengorbit matahari.

Fenomena ini dilihat dengan mata kasar pada  jam 9:15 malam tadi, seperti satu bintang yang amat cerah seperti bintang Kejora.

Kali terakhir kedua-dua planet berada pada jajaran yang sama,  iaitu dengan jarak sudut 1/12 darjah, ialah pada 397 tahun yang lepas iaitu pada 16 Julai 1623.

Tambah MYSA, pemerhatian yang lebih baik adalah dengan menggunakan binokular atau teleskop dan kenampakan fenomena ini turut bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

Fenomena konjungsi paling dekat seterusnya, iaitu lebih kurang 1/10 darjah akan berlaku pada 15 Mac 2080.

Bagi penduduk Semenanjung, fenomena ini berlaku dengan waktu yang singkat sahaja kerana waktu matahari terbenam adalah pada jam 7:00 malam, dan kedua-dua planet tersebut sudah pun menghampiri ufuk barat, tempat yang lapang dengan jarak penglihatan kurang terbatas merupakan tempat yang sesuai untuk melihat fenomena ini.

Bagi penduduk Sabah pula amat beruntung kerana waktu matahari terbenam adalah satu jam awal daripada Semenanjung, maka, tetingkap tempoh untuk mencerap fenomena ini lebih panjang.

Semalam Persatuan Falak Syar’i Malaysia mengajak orang ramai, mengikuti siaran langsung cerapan konjungsi planet Musytari dan Zuhal dari 4 lokasi di Malaysia pada jam 7:00 malam.

Beberapa balai cerap turut menyertai peluang melihat fenomena itu malam semalam, antaranya:
1. Balai cerap Al-Biruni Negeri Sabah, Malaysia
2. W Payang Beach, Lahad Datu, Sabah
3. Balai Cerap Kota Bharu, Kelantan
4. Pusat Falak Sheikh Tahir, Balik Pulau, Pulau Pinang
5. Pantai Nanamun, Kota Belud, Sabah
Acara itu menurut Persatuan berkenaan adalah kolaborasi bersama:
1. Pejabat Mufti Negeri Sabah
2. Sabah Stargazers
3. Persatuan Falak Astronomi Amatur Kelantan
4. Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang
5. Astronomical Society of Penang
6. JUPEM SABAH

Kenyataaan itu dikeluarkan di Facebook

Persatuan Falak Syar’i Malaysia

Pencerapan konjungsi Zuhal dan Musytari oleh Dark Sky Malaysia, Balai Cerap Kota Baharu di Kelantan
  • Muhammad Haziq Amzar  Kamarulzaman ( Pelatih Fakulti Animasi UiTM)

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Check Also
Close
Back to top button