SemasaSyariah

Keputusan Selangor tidak punyai kuasa hukum seks luar tabii, bukan pengiktirafan terhadap LGBTQ

MAIS hormat, akur keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan

SHAH ALAM – 2 Mac: Keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan badan perundangan Selangor tidak mempunyai kuasa dalam menghukum seks luar tabii, tidak boleh dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sama ada oleh pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ataupun mahkamah.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata ia berikutan perbuatan persetubuhan sejenis atau di luar tabii adalah tetap menjadi satu kesalahan amat serius di sisi Islam yang bercanggah dengan ajaran Islam, akhlak, moral dan norma kehidupan masyarakat di negara ini.

“MAIS menghormati dan akur dengan keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan, bagaimanapun ia bukan satu pengiktirafan kepada golongan LGBT. Dengan keputusan itu, MAIS dan pihak berkuasa agama Islam di Selangor akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan untuk kesalahan yang dilakukan oleh lelaki berkenaan diteruskan oleh pihak polis mengikut tatacara yang diperuntukkan mengikut Kanun Tatacara Jenayah,” – Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu juga sama sekali tidak menafikan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membuat undang-undang berhubung dengan kesalahan yang bertentangan dengan ajaran Islam, namun ia perlu selaras dengan peruntukan Jadual Kesembilan, Butiran 1, Senarai II (Senarai Negeri), Perlembagaan Persekutuan.

BACAAN TERDAHULU 

Katanya, Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya menyatakan bahawa pihak DUN Selangor masih boleh terus menggubal undang-undang kesalahan Syariah seperti kesalahan membabitkan akidah; kesucian agama Islam dan moral.

“Justeru, MAIS akan terus mendokong prinsip kesalahan syariah seperti yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Jenayah Syariah Selangor (1995) (EJSS) demi memastikan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan negeri terus terpelihara di Malaysia dan Selangor khasnya.”

UNDANG-UNDANG SYARIAH KAITKAN SEKS LUAR TABII SEBAGAI JENAYAH TIDAK SAH – MAHKAMAH PERSEKUTUAN

25 Februari lalu,  Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan undang-undang syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah, adalah tidak sah dan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim, dalam penghakimannya berkata hanya Parlimen ada bidang kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.

Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membenarkan hukuman bagi seks luar tabii, adalah tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Peruntukan itu (Seksyen 28) bercanggah dengan Item 1 Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa badan perundangan negeri tidak mempunyai kuasa membuat undang-undang mengenai perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.” – Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat

Oleh itu, Seksyen 28 adalah tidak konsisten dan terbatal,” katanya pada sidang video menggunakan aplikasi Zoom.

Turut bersidang, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim; dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof serta Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim.

Seksyen 28 enakmen itu memperuntukkan bahawa menjadi kesalahan syariah bagi mana-mana orang melakukan persetubuhan bertentangan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana gabungan hukuman itu.

Sementara itu, Tan Sri Azahar dalam penghakimannya pula berkata, jika pemohon didapati bersalah oleh Mahkamah Syariah, hukuman akan diberikan ialah denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau mana-mana gabungan hukuman itu.

“Bagaimanapun bagi individu bukan Islam yang tidak didakwa di Mahkamah Syariah, sebaliknya dituduh mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan, hukuman akan dikenakan ialah penjara maksimum 20 tahun, denda dan sebat.

“Klausa (1) Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa setiap individu adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan sama rata di sisi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, Klausa (2) juga memperuntukkan tidak boleh ada sebarang diskriminasi terhadap mana-mana individu atas alasan antaranya, agama.

“Individu bukan Islam akan didiskriminasi kerana menerima hukuman lebih berat bagi kesalahan sama berbanding orang Islam bawah peruntukan Mahkamah Syariah,” katanya.

Pada 14 Disember lalu, panel diketuai  Tun Tengku Maimun menangguhkan keputusan mahkamah terhadap usul dibawa lelaki itu bagi mencabar Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yakni peruntukan digunakan bagi mendakwanya atas pertuduhan cuba melakukan seks luar tabii.

Pada 21 Ogos 2019, ketua pendakwa syarie menerusi pendakwa syariah memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 28 enakmen berkenaan terhadap lelaki itu di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Lelaki itu yang identitinya dirahsiakan atas permintaan peguam, didakwa atas pertuduhan cuba melakukan seks luar tabii dengan seorang lelaki lain di sebuah rumah di Selangor pada 9 November 2018.

Bagaimanapun, lelaki itu mengaku tidak bersalah dan perbicaraan terhadapnya di Mahkamah Tinggi Syariah ditangguhkan sementara menunggu keputusan hasil usulnya. 

 

 

 

 

 

Related Articles

Back to top button