Semasa

Rompin catat tahap udara tidak sihat

Jakarta waspada jerebu pada akhir tahun ini

KUANTAN – 2 Mac : Rompin di Pahang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat pagi ini.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU tidak sihat itu direkodkan pada jam 3 pagi dengan 103, manakala bacaan tertinggi pula iaitu 140 pada 10 pagi.

Bagaimanapun, empat stesen di Pahang iaitu Temerloh, Jerantut, Indera Mahkota dan Balok Baru,  merekodkan bacaan IPU pada paras baik.

Sehingga jam 12 tengah hari, Portal Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan sembilan kawasan berada dalam tahap udara baik, 54- sederhana tidak sihat -5.

Kawasan tidak sihat ialah Johan Setia Klang dengan bacaan 189, Banting – 166, Petaling Jaya – 137, Rompin -133, dan Klang 119.

Sementara itu pada minggu lalu agensi Berita Antara melaporkan  Indonesia dan negara-negara yang berjiran dengannya termasuk Malaysia dijangka mengalami fenomena jerebu sekali lagi pada hujung tahun ini.

Situasi itu diramalkan berlaku ekoran berapa titik panas mula dikesan di sekitar Sumatera.

Presiden Indonesia, Joko Widodo mengarahkan pihak berkuasa di negaranya bersedia menghadapi kemungkinan insiden kebakaran hutan pada penghujung 2021.

Menurut Jokowi, hampir 99 peratus kebakaran hutan berpunca daripada perbuatan manusia, sama ada yang dilakukan secara sengaja atau disebabkan kelalaian.

“Petani dikatakan sering menggunakan api sebagai kaedah pembersihan paling murah.

“Justeru, saya minta pemerintah daerah untuk menyiapkan infrastruktur pencegahan kebakaran hutan.

“Sumatera menghadapi peningkatan risiko kebakaran hutan bulan ini dan wilayah Kalimantan di Pulau Borneo serta Sulawesi lazimnya mula melihat kebakaran hutan pada Mei hingga Julai dengan puncaknya pada Ogos hingga September.” – Presiden Indonesia, Joko Widodo

“Kebakaran ini boleh menyebabkan kerugian kewangan yang besar dan ia belum termasuk lagi kerosakan pada ekologi dan ekosistem yang ada,” katanya.

Beliau berkata lagi, kebakaran yang dilakukan bertujuan membersihkan kawasan ladang untuk pertanian kelapa sawit, di mana Indonesia adalah negara utama pengeluar komoditi itu di dunia.

Sementara itu, seorang pegawai meteorologi di Indonesia memberitahu, keluasan kawasan panas di sekitar Riau, Sumatera melonjak kepada 63 semalam.

Sebelum ini, hanya sembilan titik panas yang dikesan.

Pada tahun 2015, Malaysia mengalami jerebu yang dikatakan terburuk dalam sejarah negara sehingga menyebabkan IPU  mencecah tahap tidak sihat.

Banyak sekolah terpaksa ditutup manakala penerbangan dan acara luar peringkat kebangsaan terpaksa dibatalkan.

Jerebu itu berpunca daripada kebakaran hutan yang berlaku di Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Empat tahun kemudian, jerebu yang teruk sekali lagi melanda Malaysia akibat kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan.

 

 

Related Articles

Back to top button