SemasaSyariah

Undang-undang Syariah Selangor kaitkan seks luar tabii sebagai jenayah tidak sah

Mahkamah Persekutuan putuskan peruntukan undang-undang itu tidak mengikut Perlembagaan

PUTRAJAYA 25 Feb :  Mahkamah Persekutuan pada Khamis memutuskan bahawa peruntukan undang-undang Syariah Selangor yang menyatakan bahawa seks luar tabii sebagai jenayah adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendapati Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan dengan perkara yang termasuk dalam Jadual Kesembilan Senarai Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan, di bawah kuasa Parlimen.

Beliau berkata, Seksyen 28 bercanggah dengan Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa badan perundangan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Beliau berkata, kuasa utama untuk menggubal undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.

Tun Tengku Maimun berkata, Senarai Negeri membenarkan pengwujudan kesalahan berhubung ajaran Islam tetapi kuasanya dibatasi oleh “klausa penghalang” dan hanya mengenai perkara yang disenaraikan dalam Senarai Negeri.

Dalam keputusan sebulat suara yang disampaikan secara dalam talian, mahkamah membenarkan pengisytiharan yang dimohon seorang lelaki berusia 35 tahun bahawa Seksyen 28 itu tidak sah atas alasan bahawa peruntukan berkenaan berkaitan perkara itu bahawa badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang dan oleh itu terbatal dan tidak sah.

Seksyen 28 Enakmen itu memperuntukkan bahawa menjadi kesalahan Syariah bagi mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana gabungan hukuman itu.

Sementara itu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed memberikan ringkasan alasan penghakimannya untuk menjelaskan mengenai pentingnya isu perlembagaan dalam kes itu serta menyatakan pandangannya mengenai mengapa remedi yang dimohon lelaki itu perlu diberikan.

Beliau berkata, Parlimen diberi kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan dengan hubungan seks luar tabii memandangkan kesalahan itu termasuk dalam “undang-undang jenayah” dalam Senarai Persekutuan

“Parlimen telah membuat peruntukan bagi kesalahan hubungan seks di luar tabii dalam dua peruntukan Kanun Keseksaan iaitu Seksyen 377 dan Seksyen 377A Kanun Keseksaan,” katanya.

Tan Sri Azahar berkata, Seksyen 28 Enakmen itu tidak sah kerana badan perundangan negeri membuat peruntukan berkenaan berhubung perkara itu yang ia tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, sambil menambah bahawa hanya Parlimen yang boleh menggubal undang-undang tersebut.

Beliau berkata, undang-undang mengenai kesalahan agama mesti dalam kompetensi badan perundangan negeri kerana negeri sahaja yang boleh menyatakan apa yang menjadi kesalahan agama.

“Sebarang usaha untuk mengawal hak individu yang menganut agama Islam terhadap kepercayaan, prinsip, ajaran dan amalan tertentu dengan cara membuat kesalahan hanya dapat dilakukan dengan undang-undang yang diluluskan oleh badan perundangan negeri menurut Klausa 2 Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dan menambah bahawa kesalahan agama tidak ada kaitan dengan undang-undang jenayah.

Hakim-hakim lain yang turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk P. Nallini, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim.

Lelaki itu memperoleh kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk memulakan prosiding menerusi petisyennya terhadap kerajaan Selangor untuk satu deklarasi bahawa Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah itu tidak sah.

Pada 21 Ogos 2019, ketua pendakwa syarie menerusi pendakwa syariah memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 28 Enakmen berkenaan terhadap lelaki itu di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Lelaki itu yang identitinya dirahsiakan atas permintaan peguam, didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 2018 atas pertuduhan cuba melakukan seks di luar tabii dengan lelaki lain di sebuah rumah di Selangor.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan perbicaraannya di Mahkamah Tinggi Syariah ditangguhkan sementara menanti keputusan hasil usulnya.

Peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan A.Surendra Ananth mewakili pempetisyen. Penasihat Undang-undang Negeri Selangor Datuk Salim Soib @ Hamid mewakili kerajaan Selangor manakala peguam Halimatunsa’diah Abu Ahmad mewakili Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Dalam kenyataan bersama, Malik dan Surendra berkata mahkamah memutuskan bahawa Parlimen merupakan badan utama dalam menggubal undang-undang bagi kesalahan jenayah.

Mereka berkata walaupun Dewan Undangan Negeri boleh menggubal undang-undang mengenai pelanggaran terhadap ajaran Islam, namun kuasa perundangan tidak boleh merangkumi perkara yang Parlimen boleh menggubal undang-undang jenayah.

Mahkamah, kata kedua-dua peguam itu, telah menjelaskan bahawa Dewan Undangan Negeri hanya boleh menggubal undang-undang semata-mata atas kesalahan agama yang kesalahan tersebut akan berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Mahkamah telah menjelaskan bahawa ada satu sistem undang-undang umum jenayah, yang boleh diguna pakai untuk semua orang, dan sistem lain dari undang-undang agama semata-mata dengan kesalahan hanya berkaitan isu agama,” kata mereka sambil menambah bahawa langkah itu akan memastikan undang-undang tersebut dikuatkuasakan tanpa diskriminasi. – BERNAMA

 

Related Articles

Back to top button