KerohanianSemasaSyariah

JAKIM diarah dapatkan keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995

Lihat ruang penambahbaikan Undang-undang Syariah

PUTRAJAYA  27 Feb :   Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan berbincang dengan Penasihat Undang-Undang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi mendapatkan pandangan berhubung keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, kelmarin.

Menterinya, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, perbincangan itu bagi mendapatkan kesan dan implikasi perundangan yang berbangkit daripada keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Menurutnya, Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, JAKIM juga sudah diarahkan untuk bersidang dan berbincang bagi melihat ruang penambahbaikan undang-undang syariah yang boleh dilaksanakan, khususnya berkenaan kesalahan jenayah syariah.

Katanya, jawatankuasa itu akan berunding dengan pihak berkuasa negeri dan pihak yang berkepentingan dalam usaha untuk memperkasakan dan menyeragamkan undang-undang syariah di negara ini.

“Penghakiman itu sudah pasti dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam mencari penyelesaian yang terbaik bagi maslahat semua pihak sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam,”

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Khamis lalu media melaporkan Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan undang-undang syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah, adalah tidak sah dan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim, dalam penghakimannya berkata hanya Parlimen ada bidang kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.

Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membenarkan hukuman bagi seks luar tabii, adalah tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Zulkifli berkata, penghargaan juga ditujukan kepada EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang mewakili kerajaan Selangor, yang akan mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan dan meneliti perkara itu bagi memperkasa perundangan syariah di Selangor.

Menurut beliau, ia satu tindakan proaktif yang wajar diberi pengiktirafan mengikut Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan serta menjadikan kedudukan agama Islam di negara ini lebih istimewa berbanding agama lain.

Katanya, ia seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam kes-kes terdahulu.

“Sebagai seorang Menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, prinsip Perlembagaan ini akan terus dijunjung dan dipertahankan. Saya menyeru semua umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia di negara ini menghormati penghakiman yang diputuskan serta tidak mencetuskan spekulasi daripada penghakiman itu.”

“Semua pihak diminta bertenang dan tidak memberikan ulasan atau pandangan yang boleh mencetuskan suasana yang tidak sihat, serta boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian dalam negara kita yang tercinta ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengajak semua umat Islam di negara ini untuk bersama-sama menginsafi diri dan berusaha untuk mengubah diri, keluarga dan masyarakat ke arah yang lebih baik, bagi memaknai erti sebenar etika dan moral berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button