Semasa

Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

Koperal Norihan Tari, kritikal terkena tembakan di rusuk dan perut

KUALA LUMPUR :  Seorang anggota polis terbunuh manakala seorang lagi parah dalam kejadian berbalas tembak dengan kumpulan penyeludup di Tembok Sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis awal pagi Selasa (24/11)

Kejadian pada jam 2:30 pagi itu melibatkan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang menjalankan tugas risikan di kawasan berkenaan.

Kpl Baharuddin Ramli, 54, daripada Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA, yang terkena tembakan di bahagian kiri perut, mati di tempat kejadian manakala rakan setugasnya Kpl Norihan a/l Tari dari Pos Kawalan Sempadan, berada dalam keadaan kritikal akibat tiga das tembakan di rusuk serta perut dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar.

Norihan, 39, selesai menjalani pembedahan di HTF petang tadi dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Mayat mendiang Baharuddin, dari suku kaum Semelai, akan dibawa pulang ke kampung isterinya di Negeri Sembilan untuk dikebumikan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam sidang media khas di Bukit Aman petang semalam berkata kejadian dilaporkan berlaku di kawasan belukar di kebun getah yang dijadikan kawasan laluan penyeludupan, kurang 600 meter dari kawasan sempadan.

Berikutan kejadian itu, enam ditahan iaitu empat orang ditahan polis Thailand manakala dua lagi rakyat Thailand ditahan polis Malaysia.
 

“Saya dimaklumkan polis Thailand berjaya menahan tiga lelaki dengan seorang daripadanya berada dalam keadaan kritikal dan dua cedera parah,” – KPN 

Menceritakan lanjut mengenai kejadian berkenaan, Tan Sri Abdul Hamid berkata kedua-dua anggota PGA itu menunggang motosikal untuk menjalankan pemantauan kawasan tersebut dan selepas meletakkan motosikal, mereka berjalan kira-kira 400 meter melalui kawasan denai.

“Mereka terserempak dengan sekumpulan berbelas orang dan berlaku tembak menembak antara mereka… anggota PGA hanya bersenjatakan pistol kerana mereka bertugas sebagai peninjau. 

“Kpl Baharuddin kehabisan peluru dan berundur sebelum rebah manakala Norihan berjaya bergerak ke motosikal mereka dan pulang ke pos kawalan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata siasatan awal mendapati kejadian itu melibatkan 13 penyeludup yang ketika itu dipercayai membawa 12 bungkus daun ketum (anggaran 400-500 kilogram) dan seguni ubat batuk.

“Seorang (penyeludup) ditangkap oleh pasukan komando VAT 69 selepas kejadian dan seorang ditahan PGA Batalion 3… (namun) senjata tidak dijumpai,” kata beliau.

Sementara itu, penahanan tiga lelaki yang cedera di Thailand disahkan Komander Divisyen ke-5 Infantri Thailand, Mejar Jeneral Santi Sakuntanak.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button