Semasa

“Sedih sangat, tapi bangga dia tinggalkan kami sebagai wira”

Jenazah dibawa ke Bahau untuk disemadikan

TAPAH: Tergamam….

“Kematiannya sangat menyedihkan, tapi saya berbangga kerana suami meninggalkan kami ketika bertugas untuk keamanan dan keselamatan negara, dia seorang wira”

Demikian kata-kata isteri mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban selepas terkena tembakan penjenayah di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi Selasa (24/11)

Relow Ko, 48, berkata beliau dimaklumkan mengenai insiden yang menimpa suaminya itu kira-kira jam 4.30 pagi  semalam oleh seorang rakan yang datang ke rumahnya di kompleks perumahan Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor.

“Sewaktu kawan sampai dia senyap bila saya tanya kenapa. Dia tunjuk mesej WhatsApp kepada saya beritahu apa jadi kepada suami, dan waktu itu saya rasa kosong sebab awal pagi, saya terkejut,” katanya kepada Bernama.

Baharuddin, 54, terbunuh dalam insiden pada jam 3.10 pagi itu, manakala rakannya, Koperal Norihan a/l Tari, 39, mengalami kecederaan parah, dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis.

Mendiang yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan meninggalkan seorang balu dan tiga anak berumur antara 18 dan 32 tahun.

Menurut Relow, mendiang suaminya yang bertugas dengan Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA terbabit dalam penugasan kawalan keselamatan Op Benteng di sempadan sejak 1 November lalu dan dijadual berakhir hujung bulan ini.

Beliau berkata mendiang suaminya yang mula berkhidmat sebagai anggota polis ketika usia 19 tahun merancang untuk bersara empat tahun lagi dan berhasrat balik ke Bahau untuk bersama keluarga.

Bercerita mengenai peribadi suaminya yang berasal dari suku kaum Semelai, Relow berkata mendiang seorang yang suka bercucuk tanam dan tegas terhadap anak-anak serta keluarga, dan beliau tidak nampak sebarang perubahan ketara kepada mendiang suaminya sebelum keluar untuk tugasan kali ini, sebaliknya beliau yang berasakan sentiasa tidak sedap hati malah sukar untuk tidur malam.

Mendiang Baharuddin akan disemadi di kampung halamannya esok.

Di Padang Besar,  Ketua Polis Negara (KPN),  Tan Sri  Abdul Hamid Bador turut mengadakan lawatan ke lokasi kejadian mendiang Koperal Baharuddin Ramli dari Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA), yang terkorban akibat cedera parah selepas terkena tembakan musuh semasa menjalankan tugas mengawal keselamatan di Tembok Sempadan (TS9) Malaysia – Thailand.

Ketibaan beliau telah disambut oleh Ketua Polis Kedah, CP Dato’ Hasanuddin Hassan dan Ketua Polis Perlis, SAC Dato’ Surina Saad.
Sejurus selesai, Tan Sri Abdul Hamid turut dibawa melawat seorang lagi anggota PGA yang mengalami kecederaan parah akibat terkena tembakan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato’ Sri Abd Rahim Jaafar, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Dato’ Huzir Mohamed dan Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), DCP Datuk Mastor Mohd Ariff. – BERNAMA

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button