Covid19KerohanianSemasa

Aktiviti masjid, surau di 7 daerah di Kedah ditangguh

Solat Jumaat diganti Solat Zuhur, solat Jemaah had 3 orang

SEMUA aktiviti keagamaan di masjid dan surau di kawasan berisiko Covid-19 di Kedah, ditangguhkan berkuat kuasa hari ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, masjid dan surau itu membabitkan tujuh daerah iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Kulim, Baling, Yan, Kubang Pasu dan Padang Terap.

“Penangguhan aktiviti di masjid dan surau itu membabitkan satu masjid di daerah Kota Setar, Kuala Muda (30), Kulim (6), Baling (6), Yan (3) Kubang Pasu (6) dan Padang Terap (3), selain beberapa surau dari kawasan terjejas di setiap daerah tersebut. Keseluruhan operasi surau di kariah yang terlibat, adalah diarahkan ditutup.

“Solat Jumaat di masjid-masjid terbabit ditangguhkan dan digantikan dengan solat fardu Zuhur, aktiviti-aktiviti keagamaan seperti majlis ilmu, kuliah, kelas pengajian, majlis bacaan Yasin dan sebagainya adalah tidak dibenarkan. Majlis akad nikah juga tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Bagaimanapun, katanya, solat fardu berjemaah di masjid-masjid terbabit dibenarkan, dengan bilangan jemaah maksimum seramai tiga orang membabitkan imam, pegawai masjid atau jawatankuasa kariah, dengan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Anak kariah bagi masjid-masjid yang terbabit hendaklah menggantikan solat Jumaat dengan menunaikan solat Zuhur di rumah, dan menunaikan solat-solat fardu yang lain di rumah masing-masing,” katanya.

Selain itu, solat jenazah dan pengurusan jenazah di masjid dan surau terbabit juga tidak dibenarkan dan hendaklah dilaksanakan di rumah, dengan hanya membabitkan kehadiran pegawai masjid dan ahli keluarga terdekat.

Beliau berkata, mana-mana masjid atau surau yang didapati jemaahnya positif Covid-19, hendaklah disanitasi secara keseluruhan dan operasi masjid ditutup sepenuhnya, serta dibuka semula 14 hari selepas proses sanitasi dilakukan.

“Arahan ini adalah berkuat kuasa sehingga arahan rasmi terkini dikeluarkan, dari semasa ke semasa,” katanya.

-hmetro.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button