Kerohanian

Sebulan Azawate seolah diseru untuk berhijab

Istiqamah adalah perjuangan terbaik dalam berhijrah:Ustazah Datuk Dr. Norhafizah

Siapa yang mungkin boleh melupakan, video viral pembaca berita menangis ketika membacakan berita nukilan hati isteri pramugara yang hilang dalam tragedi pesawat MH370 Mac 2014 yang lalu.

Azawate Zainol Abidin, 44, kini berwajah baharu setelah mengenakan hijab pada 10 Zulhijjah yang lalu.

Mengimbau kenangan di bilik berita, Aza menyifatkan dirinya seorang yang mudah tersentuh, namun atas dasar profesionalisme, beliau mampu menyembunyikan sebarang berita sedih yang dibaca ketika ke udara.

Namun nukilan hati, Intan Maizura Othaman, isteri pramugara Mohd Hazrin Mohamed Hasnan yang hilang bersama pesawat MH370 tidak mampu dikawal Aza.

Sebagai seorang ibu dan isteri, hatinya begitu meruntun membacakan bait-bait perkataan pada momen terakhir Buletin Utama 27 Mac 2014.

Video itu tular dan menyentuh hati jutaan penonton, malah Aza sendiri sehingga kini tidak boleh melupakannya.

Menginjak tahun baharu 1442 Hijrah hari ini, Aza yang dihubungi UMMAHToday,  http://ummahtoday.com.my/ berharap segala pembaharuan pada dirinya menjadi satu anjakan mendepani tahun Hijrah yang begitu mencabar ditambah dengan wabak Covid19.

Sebelum penghijrahannya, Aza dalam nada sebak berkongsi, perasaan membuak-buak untuk mengenakan hijab dilaluinya hampir saban hari sebulan lamanya.  Rasa itu semakin kuat sehinggalah, dia yakin tidak menoleh ke belakang.

Rakan-rakan beliau yang mengunjunginya baru-baru ini, terkejut namun gembira dengan perubahan itu, apatah lagi suami, anak-anak dan keluarga.

“Bukan Aza nak menunjuk-nunjuk atau atas paksaan mana-mana pihak, tapi Aza syukur sudah berhijrah, dan perjalanan masih jauh di hadapan”.

Sekadar berkongsi pengalaman, Aza masih ingin mendapatkan lebih banyak perkongsian para ustazah, serta rujukan penampilan imej bertudung untuk dirinya.

Biar pun merehatkan diri seketika dengan dunia media dan penyiaran, Azawate tetap menerima tawaran menjadi hos rancangan dan rakaman suara latar, namun terpaksa ditolak. Ini kerana ketika ini, Aza ingin menumpukan perhatian kepada keluarga.

Berpengalaman 15 tahun sebagai pembaca berita dan mengacara rancangan, Azawate berkata sudah tiba masanya memberi balik kepada generasi pelapis media.

Aza sering kali dipanggil memberi bimbingan dalam bengkel media, institusi pendidikan awam dan swasta negara khususnya mereka yang berhasrat menyeburi bidang pembacaan berita.

Sempena 1442 Maal Hijrah, Azawate Zenol Abidin mengharapakn satu perubahan yang baik untuk dirinya dan juga ummah dan negara tercinta, berdasarkan tema Maal Hijrah kebangsaan, `Ummah Rabbani, Negara Harmoni”

Dalam menjaga konsistensi penghijrahan seseorang, UMMAHToday http://ummahtoday.com.my/ mendapatkan pandangan Ustazah Datuk  Dr. Norhafizah Musa.

Beliau menjelaskan hijrah ini adalah seperti tapak yang kemudian diikuti dengan perjuangan untuk membangunkannya.

“Demikianlah apabila kita berhijrah, maka sangat penting hijrah itu diikuti dengan pengisian ilmu, pemilihan lingkungan yang baik, sahabat-sahabat yang soleh, majlis-majlis yang soleh, amalan-amalan soleh dengan tujuan semoga kita merasa istiqamah”, katanya.

Ketika dihubungi malam tadi,  Ustazah Datuk Dr. Norhafizah baru saja selesai menjadi panel progam rakaman Forum Perdana Khas Maal Hijrah 1442H untuk RTM sempena Maal Hijrah, dan bakal disiarkan jam 9:00 malam ini.

Tambah beliau, seperti kisah-kisah yang beliau sampaikan di dalam program tersebut,  hidayah mendahului hijrah.

``Subhanallah,  MashaaAllah, Allah Maha Baik. Maka mari kita menjadi hamba Allah yang mensyukuri hidayah tersebut.”

Pesannya sebagai rumusan, peganglah dua kunci – pertama; syukur dan kedua – istiqmah, insya-Allah hijrah akan sentiasa terpimpin.

“Mahal sangat nilai hidayah, terlalu mahal sehinggakan tiada siapa yang mampu dan berhak bagi hidayah kecuali Allah Azza wa Jalla. Maka syukurilah hidayah tersebut, tatang dengan amal soleh, dengan istighfar, dengan taubat nasuha. Semakin kita  syukuri, Allah tambahi lagi hidayahNya.

Kepada sesiapa pun yang berhijrah kepada kebaikan, kata beliau, Istiqamah! kerana di sinilah perjuangan dalam berhijrah.

“Lihat bagaimana perjuangan Rasulillah SAW selepas berhijrah, pengorbanan yang berterusan sehingga bertemu Allah SWT.”

Ustazah Datuk Norhafizah Musa, juga baru saja dilantik sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanah , Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, YADIM.

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button